Rabu, 15 Ogos 2007

Tsa'labah - Merpati Masjid

Saya merasa terpanggil untuk bercerita tentang seorang manusia yang hidup di zaman Rasulullah saw yang bernama Tsa'labah. Sebenarnya, bila bercakap tentang doa, amat penting bila kita berdoa kepada Allah, mohonlah kepada Allah supaya memberkati kurniaanNya kepada kita. Tiada makna kurniaan Allah jika Allah tidak berkati.
Sebenarnya, Tsa'labah sentiasa menjadi perhatian Rasulullah kerana pada mulanya beliau sentiasa ada di masjid sehingga digelar 'Merpati Masjid'. Tsa'labah selalu datang awal untuk solat berjemaah tetapi beliaulah orang yang awal juga untuk balik ke rumah. Bila hal ini ditanyakan padanya, Tsa'labah memberitahu, oleh kerana dia teramat miskin, dia hanya mampu mempunyai sepasang pakaian yang sempurna untuk dibawa bersolat. Selesai dia bersolat, beliau akan cepat-cepat pulang ke rumah untuk memberi peluang kepada isterinya menggunakan pakaian tersebut untuk bersolat.
Pada suatu hari Tsa'labah terdengar seorang sahabat meminta Rasulullah mendoakannya supaya kaya dan diberkati kekayaannya. Rasulullah pun doakanlah dan memohon kepada Allah agar kekayaan sahabat itu diberkati. Tsa'labah pun tanpa berfikir panjang lagi, meminta Rasulullah mendoakan beliau agar jadi kaya. Rasulullah diam sahaja tetapi Tsa'labah meminta dan meminta lagi. Akhirnya Rasulullah pun mendoakannya agar jadi kaya. Tidak seperti sahabat yang awal tadi Tsa'labah tidak memohon agar kekayaannya diberkati.
Doa Rasulullah makbul. Ternakan Tsa'labah menjadi dan membiak. Di peringkat awal, Tsa'labah mampu lagi solat seperti biasa. Lama-kelamaan Tsa'labah makin lewat sebab makin sibuk menguruskan hartanya sampai tertinggal solat jemaah dengan Rasulullah. Bila ternakannya bertambah membiak sampai makin terpaksa keluar jauh daripada Madinah, solat Jumaat pun beliau tertinggal.
Bila genap tempoh berzakat, Rasulullah telah menghantar wakilnya untuk mengutip zakat daripada Tsa'labah. Tsa'labah sebenarnya sudah lupa diri dan bertukar menjadi seorang yang bakhil. Beliau lupa keadaannya dan janji-janjinya sewaktu miskin dahulu. Utusan Rasulullah balik menemui Rasulullah dan memberitahu keadaan Tsa'labah. Rasulullah merasa amat dukacita dan bimbangkan kemurkaan Allah terhadap Tsa'labah.
Akhirnya Tsa'labah cuba juga bayar zakatnya tetapi malangnya Rasulullah tidak terima kerana Allah tidak terima. Malang sungguh nasib Tsa'labah. Dia telah maklum lebih awal lagi nasibnya di akhirat nanti. Bayangkanlah bila Allah tidak redha.... apa makna lagi segala kekayaannya serta hidupnya di dunia ini?
Bila Rasulullah wafat, Tsa'labah cuba bayar zakat di zaman Abu Bakar dan selepas Abu Bakar, di masa Omar menjadi khalifah, tetapi kedua-dua mereka pun tidak mahu menerimanya. Bagaimana mereka mahu menerimanya seandainya Rasulullah saw sewaktu hayatnya dahulu pun tidak menerima zakat Tsa'labah? Tsa'labah akhirnya membubuh pasir di atas kepalanya.... Semuanya sudah tidak bermakna lagi baginya....
Jadi, kepada pembaca yang dikasihi, jika meminta sesuatu dari Allah, baik apa sekali pun, anak, suami, kenaikan pangkat, kekayaan, kesenangan, harta benda.... pastikan juga berdoa semoga Allah berkati segala apa jua kurniaanNya!

2 ulasan:

ila c a y y o k berkata...

InsyaALLAH...smoge kite smua dpt mnjadi manusia yg brsyukur..dan sntiasa memohon keberkatan dr yg maha Esa.

Tanpa Nama berkata...

sy x pasti..tapi boleh dilayari disini.
kisah tsa'labah ini dikhuatiri cerita palsu...
http://youtube.com/watch?v=aYHFxXaylBU