Rabu, 29 Ogos 2007

Kreatifnya Pembuat Iklan

Iklan yang sempurna dan baik mampu mempengaruhi ramai orang untuk membeli sesuatu produk. Apatah lagi iklan yang berupaya menyentuh jiwa dan menjadi sebutan ramai.

Di kaca televisyen, iklan-iklan PETRONAS biasanya amat menyentuh hati. Begitulah kuasa iklan... berupaya mempengaruhi dan di waktu yang sama mendidik manusia sejagat.

Akhirnya, Video Pertama Dalam Blogku...

Sudah lama sebenarnya aku ingin masukkan klip video dalam blogku tapi aku tiada kemahiran tersebut. Haaa... hari ini, Alhamdulillah cita-citaku tercapai.

Klip video ini dikirim oleh kenalanku. Nanti, insya Allah akan ku masukkan banyak lagi video klip yang menarik.

Gambar Satelit Kampus UiTM Terengganu



Di sebelah adalah gambar satelit UiTM Terengganu kampus Dungun yang telah dihantar oleh seorang rakan sekerjaku.

Saja aku masukkan gambar satelit kampusku ini dalam blogku.... hendak bagi rakan-rakan sekerjaku di kampus Jengka , Kuala Pilah, Merbok dan Shah Alam 'meleleh air liur' menyaksikan keindahan kampusku... hehehehe.....

Aku terbaca dalam akhbar, warna mata Aishwarya Rai yang jelitawan itu ialah hijau.... hehehehe... lepas ini, banyaklah mata rakan-rakan lamaku yang akan jadi 'green with envy'... heh heh heh heheeheehhee....

Kampus Dungun juga dikenali sebagai 'resort university'.... Kampus ini bersempadankan laut, tasik, bukit (Bukit Bauk yang terkenal dengan keindahan flora dan faunanya) dan padang golf.

Pemandangan sepanjang Teluk Gadung sampai ke Pantai Telok Lipat tersangat indah.... Sekali sekala pesisiran pantai ini dimeriahkan oleh pertandingan memancing "Jom Mengail".

Untuk seseorang yang berjiwa sentimental sepertiku, tiap kunjunganku ke pantai membuat aku terdengar-dengar dalam desiran lembut bayu, suara Uji Rashid mengalunkan lagu...."Ulik..... Mayangku ulik...... ulik dengan.... jala jemala....."

Moh la ke Terengganu.... negeri yang memang mempersonakan. Sememangnya bagai diwar-warkan, Terengganu ini negeri yang cantik, budayanya menarik.

Selasa, 28 Ogos 2007

Al Quran Dihasilkan Dari Sulaman Benang



Selalunya kita baca atau dengar tentang al Quran yang ditulis di atas tulang, kulit binatang atau kertas....

Menurut satu emel yang dikirim oleh pelajar saya; di Lahore, Pakistan, seorang lelaki yang bernama Attar Mohamed yang merupakan seorang lelaki biasa macam kita semua telah menghasilkan al Quran yang dihasilkan dengan sulaman benang.

Beliau mula menyulam Al Quran itu mulai 1966 untuk mendapat ketenangan jiwa dan telah mengambil masa selama 10 tahun untuk menyudahkan sulamannya itu. Beliau meninggal 3 hari selepas menyelesaikan kerja sulamannya.

Hasil kerja Attar ini ada 30 bahagian dan kini disimpan di dalam laci gelas di dewan pameran dalam Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan.

(Gambar oleh BERNAMA)

Wajah Al Quran Asli



Sesiapa yang teringin hendak tengok wajah al quran yang asli, beginilah rupanya.
Besar dan tebal... jenuh juga jika hendak menyelak ketika membacanya.
Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, besar pahalanya kepada mereka yang telah berusaha menyediakan Al Quran bercetak dalam versi yang kita kenali hari ini, lebih mudah untuk dibawa ke sana sini.

Ahad, 26 Ogos 2007

Agen Oren

Hari ini, selepas menatap sisipan 'Mega' akhbar Utusan Malaysia, saya teringat kepada cerita bekas seorang pelajar DPIM (Diploma Planting and Industrial Management) UiTM Pahang di dalam lingkungan awal tahun 1990an dahulu.
Beliau bekerja di kantin UiTM kampus Jengka sementara menunggu tawaran kerja yang lebih baik, sehinggalah suatu hari saya mendapat tahu beliau ditawarkan kerja dengan gaji permulaan yang pada saya, 'amat mahal' iaitu RM3,000 dengan kelulusan hanya diploma (dibandingkan dengan gaji permulaan saya sewaktu mula bekerja sebagai pensyarah dengan ITM Pahang pada tahun 1986, dengan ijazah sarjana, iaitu hanyalah RM1,300 sahaja!).
Bila saya tanya di mana tempatnya, beliau sambil tersengih, menjawab:"Di ladang dekat Vietnam, puan!"
Bila saya tanya lagi kenapa agaknya gaji yang ditawarkan mahal sangat, beliau semakin lebar tersengih menjawab: "Banyak periuk api, puan!"
Kalau tak silap saya, beliau telah menolak tawaran tersebut. Sisipan Mega hari ini membuatkan saya mengimbau kenangan lampau. Jahat Amerika nih! Banyak rakyat Vietnam yang telah menjadi cacat kesan agen Oren. Itu belum kira lagi pengguguran bom Napalm yang sangat terkenal sewaktu perang Vietnam. Amerika ialah satu-satunya negara yang telah menggugurkan bom atom sampai dua kali di Jepun sewaktu Perang Dunia kedua; satu di Hiroshima, dan satu lagi di Nagasaki.
Sebenarnya, Amerika Syarikatlah yang paling layak mendapat gelaran 'Pengganas Nombor Satu Dunia' !!! ....

Mati Syaheed (Kecil)

Dalam satu ceramah yang saya dengar beberapa tahun yang lalu, seorang ustaz telah bercakap tentang mati. Menurut ustaz tersebut, mati yang paling bagus adalah mati syaheed; umpama sahabat-sahabat Rasulullah saw yang telah syaheed dalam perang Badar, Uhud dan sebagainya.

Orang yang syaheed sebegini sebenarnya tidak mati. Mereka 'hidup' dan diberi rezeki oleh Allah. Roh mereka dimasukkan di dalam burung dan mereka berterbangan di dalam syurga menunggu hari pembalasan.

Sering kali kita terbaca tentang orang-orang yang dianugerahkan Allah SWT kenikmatan mati syaheed ini dalam pertempuran menentang kuffar di Afghanistan, Chechnya, Palestin dan sebagainya, walaupun mereka sudah mati beberapa hari tetapi keadaan mereka bagaikan 'hidup', di mana darah mereka masih kelihatan mengalir walaupun mereka sudah mati beberapa hari.

Kalau tidak dapat mati sebegitu, menurut ustaz tersebut, daripada mati katak sahaja, kejarlah pula untuk mati syaheed kecil. Banyak keadaan yang memungkinkan di mana kita boleh dapat 'title' mati syaheed kecil. Antara yang saya ingat sangat ialah dengan berpagi-pagi dan berpetang-petang dengan membaca ta'awuz 3x dan selepas itu membaca "Lau anzalna hazal Qur 'ana 'ala jabalillara aitahu....." (Surah Al Hasyr 59 : 21 - 24). Hmm.... semudah itu.

Yang kedua yang paling saya ingat ialah tentang orang yang sedang menuntut ilmu atau sedang mengajarkan ilmu dikira mati syaheed kecil jika ia meninggal sewaktu dalam proses tersebut. Oleh kerana ia melibatkan profesyen saya, tentulah fakta ini amat 'berbekas' di hati saya. Bayangkanlah, seorang pelajar atau seorang guru, kalau ia meninggal di dalam kelas, di asrama, ketika sedang menyuapkan makanan sewaktu rehat, sedang dalam perjalanan ke kuliah, sedang mengajar, sedang belajar, sedang menyediakan nota mengajar, hatta sedang tidur sekalipun... hmmm... ianya dikira mati syaheed kecil!!!

Sebenarnya, ini adalah suatu bahan motivasi penggerak dalaman yang begitu besar kiriman dari Allah untuk kita semua yang sedang berkhidmat di dalam bidang pengajaran dan sedang bertungkus lumus membentuk serta 'mengarang' manusia. Padanlah Assyaheed Hassan al Banna sewaktu ditanya kenapa tidak menulis buku, beliau menjawab : "Saya mengarang manusia!!!"; besar pahalanya orang yang mendidik manusia sehingga betul-betul menjadi manusia yang dikehendakki Allah SWT. Lagi pun, selepas mati, inilah sahaja harapan kita yang masih ada... iaitu ilmu yang diajarkan; untuk mencambahkan dan menambahkan pahala yang berpanjangan sewaktu kita di alam barzah.

Merubah Ciptaan Allah




Allah menjadikan manusia dalam keadaan yang sudah sempurna. Allah Maha Tahu kenapa manusia perlukan dua telinga, satu mulut, lubang hidung ke bawah dan sebagainya. Kita sebagai makhluk tidak sepatutnya memandai-mandai merubah ciptaan Allah, hatta untuk melawa sekalipun!
Berdosa besar orang yang merubah ciptaan Allah sesuka hati. Semoga kita jauh daripada mendapat kutukan Allah, na'uzubillah!

Usah Dibiarkan Ibubapa Bersendirian


















Gambar-gambar ini dikirim oleh seorang kenalan melalui internet. Semoga menjadi iktibar kepada kita yang hidup yang masih mempunyai ibubapa. Hamba Allah ini meninggal dunia pada hari isterinya dibawa oleh anaknya ke rumah anaknya. Beliau tidak mahu ikut.


Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Walau sekasih mana pun kita kepada ibu kita, jangan sekali-kali pisahkan ibu daripada bapa, apa lagi kalau bapa sudah berumur. Mungkin sudah takdir hamba Allah ini untuk meninggal bersendirian dan setelah menghembus nafasnya beberapa hari baru disedari jiran-jiran kerana sudah berulat dan berbau.


Semoga Allah mengasihi ibubapa kita sebagaimana mereka telah mengasihi kita sewaktu kita kecil dahulu.

Isnin, 20 Ogos 2007

Doa Angin Ahmar

Aku dimaklumkan, rakan-rakan sejawatku, Prof Madya Maksom Sarakan dan En. Muneer Shamsudin pernah teruji. Takdir Tuhan lebih kurang tiga minggu lepas giliranku pula... (agaknyalah).
Semester ini, hari Selasa , jadual kelasku paling padat dalam seminggu. Kali pertama aku dapat jadual yang paling baru, agaknya badanku yang semakin tua ini 'terkejut' selepas lama berehat. Asar itu, selepas solat, dalam keadaan yang teramat letih, tiba-tiba anggota badan sebelah kiriku mengalami masalah untuk digerakkan. Tanganku terasa sukar benar untuk diangkat. Kalau cuba diangkat, terasa sakit benar!
Aku tidak berupaya menghabiskan zikirku petang itu. Yang pertama terlintas di hatiku ialah pertanyaan, "Sudah tibakah giliranku untuk kembali ke kampung yang kekal abadi itu?"
Aku cuba membaca ayat "Laqadjaa akum... " sampai habis. Selama ini aku diberitahu, seandainya kita hafal ayat itu, kalau takdirnya ajal kita sudah hampir tiba, kita tidak akan mampu membaca ayat tersebut 'off hand' sebagaimana kebiasaan.
Rupa-rupanya aku hafal lagi. "Haa... Tak akan mati lagi agaknya", fikirku.
Aku panggil anakku Sarah untuk tolong ambilkan minyak dan cermin. Alhamdulillah bibirku tidak herot. Anakku tolong aku buka baju (aku alami kesukaran untuk membuka bajuku sendiri!) dan dilumurnya minyak ke kawasan anggota badanku yang di sebelah kiri. Letih si kakak mengurut, datang pula si adiknya Mubarak , mengurut perlahan-lahan.
Terasa hiba bila jari-jemari kecil anakku mengelus-ngelus kawasan bahu kiriku. Aku berdoa masa itu, andainya Allah ingin memanggil aku pulang, harap-harap biarlah prosesnya cepat dan tidak menyusahkan anak-anak.
Alhamdulillah keadaanku tidak melarat. Aku teringat aku pernah baca doa angin ahmar suatu waktu dahulu. Menurut pengarang buku doa tersebut, cukup kita baca sekali seumur hidup untuk mengelakkan serangan angin ahmar. Kalau dibaca setiap waktu, lagi elok.
Kepada pembaca blogku, beringatlah sebelum kena. Bacalah doa angin ahmar sebelum terlambat.

"Kuduk Mama Gatai?"

Aku selalu terkenangkan peristiwa yang satu ini. Aku rakamkan dalam blogku ini kejadian tersebut, moga dapat dibaca oleh anak bongsuku ini suatu hari nanti bila aku sudah tiada lagi di dunia ini sebagai kenang-kenangan saat-saat manis yang diizinkan Allah S.W.T sepanjang masa ia bersamaku.
Pada suatu hari, sewaktu aku sedang solat, wudhukku telah terbatal. Aku berhenti solat seraya membuka telekung untuk memperbaharui wudhukku. Rupa-rupanya anak bongsuku leka memerhati sambil menghisap botol susunya di atas katilku.
"Kuduk mama gatai?", tanya anak kecil itu. Aku mendekatkan mukaku kepadanya. Mataku tidak nampak jauh tanpa cermin mataku.
"Wuuuudhuk!", sebutku lambat-lambat, sambil bibirku muncungkan agar telinga anakku jelas mendengar sebutanku.
"Wudhuk mama gatai?", ulangnya lagi, mahukan kepastian.
"Baaaatal!", betulku lagi.
"Wudhuk mama batal?", anak bongsuku Sa'idah bersuara lagi.
"Ha'aa. Wudhuk mama batal!", jawabku sambil menahan gelak.
Agaknya inilah kelebihan yang Allah bagi kepada kanak-kanak untuk belajar bercakap. Mereka tidak rasa malu jika tersalah sebut dan mereka sabar melakukan sesuatu pekerjaan itu berulang-ulang. Manusia, semakin besar, semakin hilang sifat ini. Lihat sahajalah pelajar-pelajar peringkat Universiti. Kalau disuruh berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka tersipu-sipu malu... bimbang diketawakan oleh rakan-rakan.

Rabu, 15 Ogos 2007

Tsa'labah - Merpati Masjid

Saya merasa terpanggil untuk bercerita tentang seorang manusia yang hidup di zaman Rasulullah saw yang bernama Tsa'labah. Sebenarnya, bila bercakap tentang doa, amat penting bila kita berdoa kepada Allah, mohonlah kepada Allah supaya memberkati kurniaanNya kepada kita. Tiada makna kurniaan Allah jika Allah tidak berkati.
Sebenarnya, Tsa'labah sentiasa menjadi perhatian Rasulullah kerana pada mulanya beliau sentiasa ada di masjid sehingga digelar 'Merpati Masjid'. Tsa'labah selalu datang awal untuk solat berjemaah tetapi beliaulah orang yang awal juga untuk balik ke rumah. Bila hal ini ditanyakan padanya, Tsa'labah memberitahu, oleh kerana dia teramat miskin, dia hanya mampu mempunyai sepasang pakaian yang sempurna untuk dibawa bersolat. Selesai dia bersolat, beliau akan cepat-cepat pulang ke rumah untuk memberi peluang kepada isterinya menggunakan pakaian tersebut untuk bersolat.
Pada suatu hari Tsa'labah terdengar seorang sahabat meminta Rasulullah mendoakannya supaya kaya dan diberkati kekayaannya. Rasulullah pun doakanlah dan memohon kepada Allah agar kekayaan sahabat itu diberkati. Tsa'labah pun tanpa berfikir panjang lagi, meminta Rasulullah mendoakan beliau agar jadi kaya. Rasulullah diam sahaja tetapi Tsa'labah meminta dan meminta lagi. Akhirnya Rasulullah pun mendoakannya agar jadi kaya. Tidak seperti sahabat yang awal tadi Tsa'labah tidak memohon agar kekayaannya diberkati.
Doa Rasulullah makbul. Ternakan Tsa'labah menjadi dan membiak. Di peringkat awal, Tsa'labah mampu lagi solat seperti biasa. Lama-kelamaan Tsa'labah makin lewat sebab makin sibuk menguruskan hartanya sampai tertinggal solat jemaah dengan Rasulullah. Bila ternakannya bertambah membiak sampai makin terpaksa keluar jauh daripada Madinah, solat Jumaat pun beliau tertinggal.
Bila genap tempoh berzakat, Rasulullah telah menghantar wakilnya untuk mengutip zakat daripada Tsa'labah. Tsa'labah sebenarnya sudah lupa diri dan bertukar menjadi seorang yang bakhil. Beliau lupa keadaannya dan janji-janjinya sewaktu miskin dahulu. Utusan Rasulullah balik menemui Rasulullah dan memberitahu keadaan Tsa'labah. Rasulullah merasa amat dukacita dan bimbangkan kemurkaan Allah terhadap Tsa'labah.
Akhirnya Tsa'labah cuba juga bayar zakatnya tetapi malangnya Rasulullah tidak terima kerana Allah tidak terima. Malang sungguh nasib Tsa'labah. Dia telah maklum lebih awal lagi nasibnya di akhirat nanti. Bayangkanlah bila Allah tidak redha.... apa makna lagi segala kekayaannya serta hidupnya di dunia ini?
Bila Rasulullah wafat, Tsa'labah cuba bayar zakat di zaman Abu Bakar dan selepas Abu Bakar, di masa Omar menjadi khalifah, tetapi kedua-dua mereka pun tidak mahu menerimanya. Bagaimana mereka mahu menerimanya seandainya Rasulullah saw sewaktu hayatnya dahulu pun tidak menerima zakat Tsa'labah? Tsa'labah akhirnya membubuh pasir di atas kepalanya.... Semuanya sudah tidak bermakna lagi baginya....
Jadi, kepada pembaca yang dikasihi, jika meminta sesuatu dari Allah, baik apa sekali pun, anak, suami, kenaikan pangkat, kekayaan, kesenangan, harta benda.... pastikan juga berdoa semoga Allah berkati segala apa jua kurniaanNya!

Ahad, 12 Ogos 2007

Dalam Kesenangan Ada Kesusahan

Ramai kawan-kawan bertanya lebih lanjut mengenai tulisanku tentang asmaa'ul a'zam tempohari. Memanglah nampak seronok bila semua doa makbul... tapi, bukankah kita ini telah ditakdirkan untuk hidup di dunia buat sekejap waktu sementara menunggu giliran kita dipanggil balik oleh Allah untuk pulang ke kampung kita yang kekal abadi? Bukankah dunia ini fitrahnya tempat menerima ujian?


Pernah dengar cerita tentang "The Medusa Touch" semasa kecil dahulu? Hmmm... Kalau tak silap, ceritanya ialah mengenai seorang yang 'bertuah' di mana semua benda yang disentuhnya bertukar menjadi emas. Mula-mula dia seronoklah... tapi... lama kelamaan, bila anaknya sendiri tertukar menjadi patung emas, semuanya sudah tidak bermakna lagi.


Ulama' kata, sebenarnya susah juga bagi orang yang doanya tersangat makbul. Pernah dengar kisah seseorang yang hidup di zaman nabi Musa dahulu yang bernama Bal'am Bin Baura? Orang yang diberi kelebihan mengetahui tentang asmaa'ul a'zam sepatutnya tidak menggunakannya untuk kepentingan duniawi kerana itu akan memusnahkan dirinya sendiri akhirnya.


Bani Izrael telah meminta pertolongan Bal'am untuk mendoakan yang tidak baik untuk nabi Musa dan pengikutnya. Bal'am yang tersirna dengan janji manis duniawi telah bersetuju.... tetapi apa yang terjadi adalah, setiap kali dia cuba mendoakan yang tidak baik, Allah yang Maha Berkuasa telah membalikkan lidah Bal'am untuk mendoakan yang sebaliknya.


Ada seorang lelaki yang hidup sezaman dengan wali Allah yang bernama Dzun Nun al Misri. Bila dia mengetahui bahawa Dzun Nun ada pengetahuan tentang asmaa'ul a'zam, beliau pergi untuk berguru dengan wali Allah tersebut. Setelah lama tempoh masa ia duduk bersama Dzun Nun, barulah ia menyampaikan hajat hatinya. Dzun Nun tidak terus menjawab, tetapi sebalik menyerahkan satu amanah (bekas) pada orang ini untuk disampaikan pada seseorang yang lain di bandar yang lain.


Beliau taat, tapi dalam perjalanan timbul kehairanan di hatinya kerana benda tersebut teramat ringan. Perasaan ingin tahunya pada isi kandungan amanah yang perlu disampaikan itu menyebabkan akhirnya benda itu terbuka dan melompat keluarlah seekor tikus. Orang ini menjadi panas hati kerana dia terfikir seolah-olah Dzun Nun telah mempermain-mainkannya.


Bila dia pergi menemui gurunya barulah terbongkar rahsia. Dzun Nun sebenarnya hanya ingin menguji keupayaannya. Kalau dalam perkara semudah itu pun dia tak terpikul amanahnya, inikan pula dalam perkara sebesar asmaa'ul a'zam... Sudah tentulah dia masih tidak layak untuk diajar tentang asmaa' yang agung itu.


Sebenarnya Allah menyuruh manusia berdoa dan berikhtiar. Mintalah segala apa keperluan hidup padaNya, Dia akan kabulkan. Tinggal lagi, sama ada Dia kabulkan segera, atau ditangguhkan atau digantikan dengan sesuatu yang lain yang pada pandangan Allah, terlebih elok untuk kita (Kerana Dia sahajalah yang terlebih mengetahui) ... atau Dia akan memenuhi permintaan kita itu di akhirat nanti. Itu janji Tuhan dan janji Tuhan semestinya benar.


Di akhirat nanti, menurut ulama', kalaulah manusia itu mengetahui keadaannya, manusia akan meminta Allah menangguhkan sahaja semua permintaannya untuk dikabulkan di akhirat.... sebab, akhirat adalah negeri yang kekal abadi. Nikmatnya tak terbanding dengan dunia yang sementara ini.


Allah pilih hambanya yang tertentu sahaja untuk mengetahui asmaa'ul a'zam ini sebab tanggungjawabnya tersangat berat. Bagi kita orang awam, ada banyak ikhtiar lain; umpamanya, bacalah doa yang baik-baik sepanjang hari Jumaat kerana pada hari Jumaat ada suatu saat yang disorokkan waktunya oleh Allah waktu yang sangat mustajab doa; doalah pada hari wukuf di Arafah kerana pada waktu itu Allah buka pintu langit; doalah di Multazam, di Hijr Ismail, sewaktu hujan turun, sewaktu tengah musafir, sewaktu tengah berpuasa, ketika hendak berbuka puasa, pada lailatul Qadar... senarainya panjang sangat.
Aku? Kenapa tak beramal dengan asmaa'ul a'zam? Heeheheehe... Aku banyak sangat tengok cerita kartun agaknya.... hehehehe... bimbang aku minta boleh terbang macam Goku dalam cerita 'Dragon Ball' tu!!! Tidak pun melepaskan geramku pada orang yang telah menyihirkan aku selama ini dengan melanyak mereka 10 kali ganda ke.... almaklumlah aku ini perempuan... emosional lebih, wal hal Allah kata boleh balas 'an eye for an eye' sahaja.... Kan ulama' sudah kata tak boleh guna asmaa'ul a'zam untuk tujuan duniawi... Jadi, kesimpulannya, tepuk dada tanyalah iman.

Selasa, 7 Ogos 2007

Asmaa'ul A'zam

Sewaktu saya kecil dulu, ayah saya telah bercerita tentang seorang lelaki yang diberi ilmu dari kitab, yakni wazir nabi Sulaiman a.s. yang bernama Asif Bin Barkhiya. Sewaktu Ratu Balkis dari Yaman sedang dalam perjalanan dari Yaman ke Palestin untuk memenuhi undangan nabi Sulaiman, nabi Sulaiman telah memerintahkan rakyatnya memindahkan singgahsana Ratu Balkis ke Palestin. Di antara banyak-banyak rakyat nabi Sulaiman yang termasuklah jin yang menyanggupi untuk melaksanakan tugas tersebut, nabi Sulaiman memilih untuk menyerahkan tugas tersebut pada Asif kerana beliau mengaku dapat melaksanakan tugas tersebut dalam masa yang paling singkat yakni sebelum sempat mata nabi Sulaiman habis berkelip!!!
Waktu itu saya diberitahu Asif mengamalkan salah satu nama Allah daripada 99 asmaa'ul husna.
Bila saya sudah besar panjang, sewaktu saya beli buku khasiat nama-nama Allah, saya terbaca penyataan bahawa ulama' berkata dalam banyak nama-nama Allah, ada satu nama itu, yang disebut asmaa'ul a'zam, jika disebut nama Allah yang dirahsiakan yang mana satu itu sewaktu berdoa, insya Allah doa kita sangat makbul.
Sewaktu saya di kampus UiTM Pahang, ada seorang pensyarah senior saya yang boleh membaca hati perut pelajarnya serta mengetahui segala rahsia mereka tanpa perlu diberitahu oleh pelajar sendiri. Saya secara peribadi menyifatkan arwah pensyarah ini sebagai seorang guru yang mursyid. Sewaktu saya bertanya pada arwah apa yang menjadi amalannya sehingga berkebolehan sampai begitu sekali, beliau memberitahu, beliau mengamalkan salah satu nama Allah, yang saya agak pada masa itu ialah asmaa'ul a'zam.
Sewaktu saya pergi haji, salah seorang jemaah wanita dalam rombongan saya adalah seorang ustazah dari Kelantan yang amat gemar membaca seperti saya. Seronoknya saya waktu itu kerana telah bertemu 'geng' kaki membaca. Sementara menunggu hari wukuf, saya telah meminjam buku yang ustazah tersebut bawa dari Malaysia. Alangkah gembiranya saya bila terbaca dalam salah sebuah bukunya, tertulis nama Allah yang ulama' kata yang diamalkan oleh Asif Bin Barkhiya, yang berkemungkinan asmaa'ul a'zam itu.
Bila ustazah ini ternampak saya terlampau gembira bila membaca bukunya, beliau bertanya sebab musababnya. Saya pun jelaskanlah dari awal bahawa pencarian saya selama ini sudah bernokhtah dan saya tunjukkan padanya apa yang saya maksudkan di dalam buku tersebut.
Ustazah tersebut menerangkan pada saya tentang kisah sahabatnya yang mengamalkan nama Allah itu. Beliau bimbang saya akan teruji terlebih dahulu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada saya mampu atau tidak menanggung ujianNya. Saya dengar pengalaman sahabat ustazah itu dengan teliti dan jadikannya sebagai tauladan. Ini adalah kerana saya pernah ada pelajar yang mengamalkan nama Allah yang lain (bukan asmaa'ul a'zam) dan beliau benar-benar telah teruji. Bila pelajar tersebut merujuk kepada ustaz mengadukan halnya, ustaz tersebut menerangkan bahawa mungkin bukan taraf pelajar itu untuk mengamalkan nama Allah yang dipilihnya.
Bila saya berpindah ke Dungun, saya terjumpa lagi sebuah buku khas tentang asmaau'l a'zam ini di kedai buku di Kuala Dungun. Buku itu adalah salinan yang terakhir di rak buku, malah lorong rak tersebut pun pekedai buku tidak buka lampu kerana jarang dikunjungi pelanggan! Bila saya baca sahaja permulaan buku itu.... penulisnya menerangkan bahawa buku itu tidak ditulis untuk dibaca atau diamalkan oleh wanita atau kanak-kanak. Rupa-rupanya Saidatina Aishah sendiri telah bertanya pada Rasulullah saw tentang nama Allah yang digelar asmaa'ul a'zam ini tetapi Rasul saw tidak memberitahunya. Aisyah usaha sendiri dan bagai dikata Rasulullah, kalau sudah berusaha mencari... insya Allah dapat!
Sifat orang perempuan secara umumnya adalah agak emosional. Seperti juga talak yang dianugerahkan Allah hanya pada orang lelaki, kawan rapatku seorang ustazah pernah secara berseloroh memberitahuku, seandainya Allah izinkan dia menjatuhkan talak... entah-entah tiap-tiap hari dia bercerai!!! Inikan pula melibatkan doa yang sangat makbul. Nanti, takdirnya marah pada sesiapa, mudah saja lidah seorang perempuan atau kanak-kanak mengungkapkan sesuatu yang tidak elok, na'uzubillah. Pada ketika itu, menyesal pun sudah tiada gunanya. Qalam sudah terangkat... tinta pun sudah kering...
Bila saya jumpa doa Kanzil Arasy yang digelar 'Raja segala doa', rupa-rupanya tertulis semua 99 nama Allah di dalam doa itu.... jadi sudah pastilah termasuk asmaa'ul a'zam tersebut. Jadi, selepas ini, kalau benar-benar berhajatkan sesuatu, sebut sajalah SEMUA nama-nama Allah; minta dengan sebersungguh mungkin serta penuh mengharap... insya Allah makbul!
Wallhua'lam bissawwab.

Fadhilat Berselawat Ke Atas Nabi SAW

Buku "90 selawat atas nabi saw... Fadhilat dan khasiatnya", tulisan Hanafi Mohamed, diterbitkan oleh Darul Nu'man, ISBN 983 - 9017 - 99 -3, adalah dirujuk.
Kalaulah manusia tahu kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW, hmmm... agaknya mereka tak akan lagi menyanyi lagu-lagu yang tak berfaedah dan yang membingitkan telinga.... atau menghabiskan masa bersembang-sembang kosong sahaja. Berdasarkan keterangan hadith, menurut ulama', membaca selawat ke atas nabi SAW akan memperolehi berbagai-bagai faedah yang amat besar, di antaranya, penulis buku ini menyatakan adalah:
1. memperolehi limpah rahmat dari Allah SWT
2. ditulis 10 kebajikan
3. dihapuskan 10 kesalahan
4. diangkat 10 darjat
5. menjauhi daripada kerugian dan penyesalan
6. memperolehi kesempurnaan iman
7. tergolong sebagai orang-orang yang soleh
8. mendekatkan diri kepada Allah SWT
9. memperolehi syafaat nabi SAW
10. memperolehi hubungan rapat dengan nabi SAW
11. menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki
12. melapangkan dada dan mententeramkan jiwa
13. menghapuskan dosa dan menutup aib
14. terselamat dari kebingungan di hari kiamat
15. menjadi sedekah pada yang tidak mampu bersedekah
16. terhindar dari kefakiran
17. dipandang sebagai seorang yang mencintai nabi SAW
18. memperolehi keberkahan dalam hidup
19. terhindar dari orang-orang bakhil
20. menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT
21. memudahkan jalan memasuki syurga
22. menjadi zakat dan pembersih diri
23. memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat
24. memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langit
25. memenuhi hak nabi sebagai suatu tugas ibadah
26. memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati
27. tergolong dalam orang-orang yang tidak melupai nabi SAW
28. menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar
29. dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti titian siraatul Mustaqim di akhirat
30. terkabul segala hajat dan cita-cita.
Sungguh beruntunglah mereka yang mengambil berat untuk berselawat ke atas nabi SAW tiap-tiap hari terutamanya pada hari Jumaat!
Untuk mengetahui pelbagai jenis selawat yang pernah diamalkan oleh ulama' terdahulu.... haa... belilah buku tersebut!

Isnin, 6 Ogos 2007

Khasiat Franch Oil

Kawan-kawan sekerjaku sewaktu di Kuala Pilah dulu sering mentertawakanku dan menempek gelaran 'duta tak berbayar' Franch Oil kepadaku kerana aku sering membuat promosi percuma tentang Franch Oil.

Ceritanya bermula begini: Tidak seperti di Dungun, sewaktu aku di Kuala Pilah dahulu, tv di rumahku dapat menangkap siaran NTV7. Masa itu NTV7 sering memaparkan iklan khasiat dan kegunaan Franch Oil. Antara yang ditunjukkan ialah model penari yang sedang tergedik-gedik menari tiba-tiba terseliuh.... Bila disapunya Franch Oil, dengan izin Allah, Alhamdulillah, sembuh.
Kemudian ditunjukkan model yang kulit perutnya dah menebal sampai ditegur suami. Bila disapunya Franch Oil.... dengan izin Allah, Alhamdulillah, 'slim' semula. Kalau tapak kaki pecah-pecah pun , Insya Allah, mujarab juga.
Sewaktu menyertai sukan staf antara kampus di UiTM Perlis, aku mewakili kampus UiTM Negeri Sembilan dalam permainan badminton. Almaklumlah..... orang se'tua' aku bersukan, main sikit sahaja dah sengal-sengal badanlah jawabnya.... Tiap-tiap malam sebelum tidur, aku akan sapu Franch Oil dekat tempat yang sakit dan kemudian membalut kawasan yang telah disapu minyak tersebut dengan kain. Yang ajaibnya, bangun keesokan harinya, rasa sakit-sakit itu hilang!
Salah seorang pemain badminton UiTM Pahang terseliuh kakinya. Sewaktu kawan-kawan sepasukannya yang lain pergi berurut, mereka terlupa mengajaknya sekali.... Jadi, bila isterinya menyebut hal ini padaku sewaktu makan malam, aku terus mengesyorkan Franch Oil ku padanya. Keesokan harinya, aku tengok beliau mampu bermain seolah-olah tidak pernah terseliuh langsung! Subhanallah.
Aku dapati, Franch Oil ini elok juga digunakan untuk orang yang mengidap lelah. Bila nampak macam nak kena serangan lelah, cepat-cepat sapukan pada dada pesakit lelah. Insya Allah lelahnya tak berpanjangan.
Ramai pasangan kakitangan UiTM Terengganu jenis yang terpaksa 'travel'... macam aku. Isteri di Dungun, suami bekerja di Kuantan, misalnya. Bila selalu 'travel', tentulah memenatkan, lenguh dan sakit-sakit badan.... Hmmm... cuba urut badan dengan Franch Oil.... insya Allah sakit-sakit badan akan lega. Tak percaya.......... cubalah!
Aku tengok Franch Oil ini tak berapa laku di farmasi Dungun atau di Mydin. Mungkin orang tidak tahu kelebihan dan kegunaan Franch Oil ini. Besar pahalanya sesiapa yang telah menemui rumusan Franch Oil ini seandainya ianya adalah seorang Muslim kerana ianya begitu bermanfaat pada orang ramai.

Ramainya Manjalara!!!



Sekali tengok, mungkin pembaca blog ini terfikir, mereka yang di dalam gambar ini calon-calon audition yang telah gagal untuk membintangi drama bersiri "Manjalara" sebab terlampau kurus cekeding sangatkah?

Hehehehe...Gambar yang dikirim oleh Puan Mimi Zazira ini sebenarnya menunjukkan siswi UiTM Terengganu yang telah menyertai program 'Cabaran U' yang telah dianjurkan di sini baru-baru ini.

Sabtu, 4 Ogos 2007

Zulqarnain Mendahului Datin Paduka Sharifah Mazlina

Baru-baru ini saya berkesempatan membaca buku berjodol "Fadilah & Tafsir Surah Al Kahfi" yang diterjemah dan disusun semula oleh H. M. Yusuf. S, ISBN 983-42594-2-5, diterbitkan oleh Kumpulan KTH Sdn Bhd.
Alhamdulillah banyak benda baru yang saya perolehi daripada membaca buku ini, antara lainnya ialah maksud ayat 90 suurah Al Kahfi iaitu:
"Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbit matahari (sebelah timur) dia mendapat matahari itu menyinari segolongan ummat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu"
Menurut penulis buku ini, ayat ini menerangkan bahawa di dalam daerah yang dilalui oleh Zulqarnain ini, tidak ditemui malam hari mahupun kegelapan! Yang demikian ini merupakan mukjizat Allah SWT yang menunjukkan bahawa Zulqarnain telah memijakkan kakinya pada kutub yang di dalamnya matahari tidak terbenam selama 6 bulan, selama masa ini tidak didapati kegelapan di daerah ini.
Bayangkanlah... Sewaktu ayat ini diturunkan, Allah memberitahu kita ada beberapa daerah di bumi yang kegelapan tidak memainkan peranannya dalam jangka masa yang lama, pada hal di daerah lain matahari terbit dan tenggelam setiap hari, namun ada di beberapa tempat yang mana di dalamnya matahari tidak pernah terbit dan tenggelam pada setiap hari. Allah telah mengungkapkan IlmuNya ini sudah tersangat lama tapi sehari dua ini baru saya faham!!!
Jadi, kesimpulannya, Datin Paduka Sharifah Mazlina bukanlah Muslim yang pertama sampai ke Kutub.... Wallhua'lam bissawab.