Isnin, 30 Jun 2008

Kisah Alang Dan Perlawanan Catur

Anakku Alang baru-baru ini meminta izinku untuk belajar bermain catur dengan kawan baik yang sekelas dengannya, Saifullah, anak rakan sekerjaku, Dr Mohd Sabri, pensyarah CITU, UiTM Terengganu. Aku izinkan, memandangkan aku sendiri tidak pernah dan tidak pandai bermain catur, jadi mana mungkin aku perturunkan ilmu selok belok bermain catur kepadanya. Anakku yang seorang lagi, yang aku panggil Andak (namanya Sari as Saqati, iaitu abang kepada Alang), katanya tahu sedikit sebanyak tentang permainan catur ini, boleh jadi beliau belajar daripada rakan sebayanya di sekolah.
Dua minggu yang lalu, Alang balik sahaja daripada sekolah, sekali lagi meminta izin untuk menyertai kejohanan catur yang diadakan di Sekolahnya, Sekolah Rendah Sura. "Aik? Baru belajar main dua tiga hari dah nak masuk bertanding? Ada harapan ke nak menang ni?", fikirku sendirian. Hmm... gasaklah. Rupanya, untuk berlaku adil, pertandingan itu dibahagikan kepada kepada dua peringkat umur. Alang yang baru berumur lapan tahun masuk bertanding dalam peringkat I, manakala abangnya Andak yang berumur sepuluh tahun akan bertanding untuk umur peringkat II.
"Ma, doakan kemenangan Alang, ye? Doakan lawan Alang tak berapa kuat, ye Ma?", pinta Alang sebelum pergi pagi Sabtu pertandingan tersebut dijalankan. Waktu itu aku sedang sibuk membasuh pinggan di dapur. "Yelah. Mama doakan, insya Allah!", jawabku sambil tersenyum. "Doakan kemenangan Andak juga Ma!", sampuk Andak pula. "Yelah. Mama doakan kemenangan anak-anak mama, insya Allah", balasku.
Petang itu, dari dapur, aku terdengar hilai tawa anak-anakku sewaktu mereka meletakkan basikal masing-masing di perkarangan rumah. Alang dengan bangganya menunjukkan piala kemenangan kepadaku. "Ma, Alang dapat jadi naib juara!!!", kata Alang, sambil menjulang trofi kemenangannya.
"Alhamdulillah! Andak?", tanyaku bila melihat Andak pun memegang trofi juga tetapi kecil sedikit daripada adiknya. "Andak dapat nombor enam, Ma! Lawan Andak banyak yang lebih handal", jawab Andak. Aku peluk kedua-dua anak terunaku. Terharu dengan minat dan kesungguhan mereka. "Alhamdulillah. Katalah Alhamdulillah, Allah lah yang mengizinkan kemenangan Alang dan Andak!", peringatku pada anak-anak. "Alang dapat nombor dua, siapa yang menjadi juara?", tanyaku. "Tentulah Saifullah, Ma!", jawab Alang dan Andak serentak.
Malam itu, aku tergelak sendirian bila melihat Alang tertidur dalam keadaan masih menggenggam trofi kemenangannya!

Kisah Alang Dan Burung Kelicap

Tidak lama dahulu, anakku yang kami gelar Alang (namanya Ahmad Mubarak) memberitahuku bahawa seekor burung kelicap telah membuat sarang di pohon buah mata kucing betul-betul di tepi tingkap bilik adik bongsunya Sa'idah. Aku diam sahaja kerana aku memang maklum anakku yang satu ini, kecuali kucing, memang sukakan binatang.

Suatu hari bila aku lalu di bawah pohon mata kucing tersebut, aku terperasan ada 'cellophane tape' serta secebis kapas melekat kepada sarang burung tersebut, lantas aku bertanya kepada Alang apa sebenarnya yang telah terjadi. Alang memaklumkan bahawa, asalnya ada 2 biji telur burung, akan tetapi, boleh jadi kerana angin bertiup kuat, maka sebiji telur burung telah jatuh terhempas dari sarang. Alang rupanya berikhtiar menyelamatkan sebiji telur burung yang tinggal dengan cuba menampal lubang di sarang burung tersebut.

Selepas hari itu, aku perasan, bila -bila beliau berkesempatan, Alang rajin mengaji Quran di tepi tingkap berdekatan dengan sarang burung tersebut. "Alang ngaji untuk anak burung, Ma!" Aku terdiam. Rasa hendak tergelak pun ada. Macam-macam Alang ni. Setahuku, bila seorang ibu mengandung, si ibu atau si ayah bayi tersebut akan kerap mengaji Quran dan berdoa semoga anak yang di dalam kandungan akan menjadi anak yang sihat, soleh, pintar, beriman kepada Allah serta segala doa yang baik-baik yang dapat difikirkan. Tidak pernah pula aku terdengar orang mengaji untuk anak burung yang masih dalam pembikinan!