Ahad, 30 September 2007

Hati-hati Meninggalkan Anak Dengan Pembantu Rumah

Ramai ibu yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan pembantu rumah atau pusat jagaan anak-anak.
Seram bila melihat rakaman klip video ini. Kesian budak kecil yang tidak berdaya ini.... Hanya tangisan sajalah bahasa yang dia tahu. Apa dosa dia maka dia diperlakukan sebegini rupa.
Bimbang apa kesan kepada fizikalnya, perkembangan mentalnya dan perkembangan emosinya.
Si pendera kanak-kanak ini, kalau seorang pembantu rumah, seelok-eloknya berhenti kerja sajalah dan carilah kerja lain. Kalau pendera kanak-kanak ini adalah merupakan ibu kanak-kanak ini sendiri.... ini bermakna siibu perlukan bantuan orang lain di sekelilingnya. Beliau sudah hilang kelayakan untuk menjaga anak yang tidak berdosa ini. Sehinggalah si ibu ini stabil semula dari segi emosi, kewangan dan seumpamanya, selagilah itulah masyarakat keliling kena berbuat sesuatu untuk menjaga kemaslahatan anak ini.
Siapa perempuan dalam klip video ini saya sendiri pun tak tahu. Klip video ini dikirim oleh anak saudara saya melalui emel. Hati saya dapat merintih sahajalah. Moga ada jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi anak kecil ini.

Kenikmatan Di Syurga

Gambar ini dikirim oleh seorang kenalan melalui emel.
Allah itu jamil dan Allah sukakan keindahan (kecantikan). Gambar ini menyentuh hatiku kerana ia mengingatkan aku kepada taman-taman di dalam syurga yang kenikmatannya tidak pernah terlintas atau terbayang dek fikiran kita manusia biasa.
Bertuahlah nabi Idris yang pernah merasai mati, pernah masuk ke neraka dan juga pernah menyaksikan dan merasai sendiri nikmat kehidupan di syurga.
Moga kita semua berpeluang merasai kehidupan di syurga yang kekal abadi di alam akhirat nanti dengan belas kasihan dari Allah Azza Wa Jalla, pemilik syurga-syurga itu. Amiin.

Rabu, 26 September 2007

Kau Yang Teristimewa....

































Nurin Jazlin Jazimin telah selamat disemadikan. Seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga pendera dan pembunuhnya dapat ditangkap sesegera mungkin.

Mana mungkin penghuni lain yang hidup di taman perumahan yang sama dengan arwah boleh hidup dengan aman dan tenteram selagi pembunuh Nurin masih bebas bergerak ke sana ke mari. Hari ini Nurin... Selagi pembunuh Nurin masih bebas, esok lusa, entah siapa pula akan dicekupnya.

Kepada ibubapa Nurin, semoga banyak-banyak bersabar menghadapi ujian yang maha berat ini. Setiap kejadian ada hikmahnya. Setiap kesusahan ada ganjaran yang disediakan Allah yang menanti di akhirat sana.
Al Faatihah buat Nurin Jazlin Jazimin.

Sabtu, 22 September 2007

Husnul Khaatimah

Sejak dari aku kecil, ayahku selalu berpesan-pesan tentang saat akhir umur hidup di dunia ini. Kata ayah, penting sangat supaya sewaktu saat akhir berakhirnya umur kita ini, kita perlu mati dalam sebaik-baik kematian dan sebaik-baik keadaan iaitu dalam keadaan beriman kepada Allah Azza Wa Jalla.

Setahu ku, sepanjang hidup kita di dunia ini, yang Allah kira adalah keadaan kita sewaktu akhir umur kita. Sepanjang hidupku yang sehari dua ini, banyak kisah yang aku baca mengenai remaja yang mati ketika sedang merempit; remaja yang mati kemalangan ketika sedang dalam perjalanan untuk menyaksikan konsert rock; manusia yang mati ketika sedang berzina dan takdirnya berlaku gempa bumi yang menyebabkan bangunan menghempap mangsa (yang menyebabkan badan si penzina ditemui mati dalam keadaan masih 'melekat') dan sebagainya.... na'uzubillahi min zaalik.

Kita hanya dapat berusaha untuk menjalani hidup sebaik mungkin mengikut tuntutan dan saranan Allah dan sentiasa berdoa semoga dapat meng'khatamkan' hidup kita di dalam keadaan husnul khaatimah, insya Allah.

Semoga klip video ini dijadikan iktibar dan peringatan untuk kita semua, insya Allah.

Selasa, 18 September 2007

Kerusi... Kakinya Empat

Aku tak tahu lah dengan orang lain, tapi rasanya masalah ini masalah global agaknya.... Anak-anakku di rumah, jika menonton tv, suka duduk di atas kerusi yang disandarkan ke dinding, menjadikan kerusi tersebut bertopangkan dua kaki sahaja, walaupun mereka tahu aku benar-benar tidak suka kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Tiap kali mereka terlupa, aku akan berkata: "Kerusi ... kakinya empat!", dan mereka akan tersenyum sebelum cepat-cepat membetulkan kedudukan kerusi kerana bimbang 'taufan Taaherah' melanda... heh heh heh hehehe... Fitrah budak agaknya, perlu diingatkan berkali-kali sebelum betul-betul melekat di kepala.

Haaa.... Lepas ini, aku cuma perlu tayangkan klip video ini kepada anak-anakku supaya mereka belajar tentang "the worst thing that can happen" kalau kerusi kakinya dua macam dalam klip video ini.

Ahad, 16 September 2007

Berhati-hati Bila Ghairah Berucap

Orang berkata, kalau kita belajar dari kesilapan sendiri, kita pandai, Insya Allah, tetapi kalau kita belajar dari kesilapan orang lain, kita lebih cerdik, insya Allah.

Bukan berniat hendak memalukan sesiapa bila memasukkan klip video ini dalam blog saya, cuma mahukan ianya dijadikan iktibar terutamanya kepada mereka yang perlu membuat pengucapan awam supaya lebih berhati-hati.

Rabu, 12 September 2007

Jalur Gemilang Dari Kuih Muffin

Rakan sekerjaku dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Cik Sairah Saien, telah mengirimkan gambar ini... pembentukan Jalur Gemilang dari beribu-ribu (lebih kurang 36000) kuih muffin! Saiz bendera Jalur Gemilang ini pula ialah 17m x 8.5m.... Besar tu!

Mereka (pelajar-pelajar UiTM Terengganu) telah menggunakan sebanyak 7,000 biji telur.... Agaknya habis semua telur di Dungun ini mereka yang borong! Sebanyak 500kg tepung, 400kg gula serta 360kg butter telah digunakan untuk menyiapkan muffin ini.

Meriah sungguh semalam. Aku beli muffins sampai RM8.... untuk bagi jiran-jiran ku merasa muffins bikinan pelajar-pelajarku ini. Hasil jualan muffins ini telah dimasukkan ke dalam apa yang pelajar-pelajar ini gelar Tabung Dapur Untuk Darfur.

Kepada kenalan dan sahabat handaiku yang di luar Dungun, tengok dan teguk air liur ajelah! Mmmmmm.... sedapnya sehingga menjilat jari.

Ramadhan Kembali Lagi!

Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur oleh Allah untuk merasai nikmat hidup di bulan yang penuh barakah ini lagi tahun ini....
Memanglah...umur umat Muhammad tidak sepanjang umur umat zaman nabi-nabi yang lain tetapi Allah menganugerahkan kita peluang untuk mengejar lailatul qadar.... suatu malam yang jika beribadah di malam itu setara dengan seribu bulan!
Saudara-mara kita yang di alam roh pun terlepas dari siksa kubur sepanjang bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita banyak-banyak bersedekah kepada mereka yang telah kembali ke alam barzah agar manfaat Ramadhan dikecapi oleh mereka juga. Itu barulah dikatakan cinta yang tulus ikhlas dan kasih sayang yang sejati, insya Allah.
Moga diberi kekuatan untuk berpuasa di siang hari, berterawih di malam hari dan bertadarus di sepanjang Ramadhan yang mubarak ini. Taqab balallahu minna wa minkum!

Selasa, 11 September 2007

Pesanan Ayah

Baru-baru ini seorang guru Biologi yang pernah mengajarku sewaktu aku di Tingkatan Lima dulu menghantar emel padaku, mencadangkan supaya aku menulis dari semasa ke semasa, sesuatu dalam blogku dengan motif untuk berpesan-pesan pada anak-anak agar akhirnya nanti mereka membesar dan menjalani hidup ini dalam keadaan mentaati Allah, insya Allah.
Aku teringat pada arwah ayah setiap kali bab mentarbiyah anak-anak ini diungkit oleh sesiapa pun. Ayahku adalah seorang ayah yang misali. Mungkin ayahku tak pernah berpeluang masuk belajar di universiti kerana pembelajarannya terganggu semasa Perang Dunia Kedua meletus, tetapi bab mendidik anak ini, aku puji kaedah yang ayahku gunakan.
Ayah telah mempraktikkan kepimpinan melalui teladan. Banyak yang aku pelajari darinya hanya melalui apa yang dibuatnya tanpa beliau perlu bersuara sepatah pun. Ayah adalah seorang peniaga kedai runcit sewaktu hayatnya dikandung badan. Balik dari masjid selepas habis solat subuh, kedai ayahlah yang paling awal dibuka di kampung. Ayah akan sediakan sebuah bangku untuk aku duduk sementara menunggu bas sekolahku datang. Sambil-sambil beliau buka kedai, beliau mengajarku untuk sentiasa berselawat ke atas nabi atau menghafal doa terang hati ini .....
"Allahummaj 'alfi qalbi nuura...wa fii lisaani nuura...waj 'alfi sam 'ii nuura...waj 'alfii basori nuura... waj 'alfi khalfii nuura... wa min amaami nuura... waj 'al min fauqii nuuraa... wa min tahti nuuraa... Allahumma a'tinii nuuraa..."
Sambil-sambil itu beliau akan bercerita kisah-kisah nabi. Ada sahaja peluang untuk bercakap denganku, beliau akan bercerita, masa makan, lepas makan, dalam kereta, dalam bas, dalam keretapi.... Adikku cemburu agaknya aku rapat sangat dengan ayah, sampai digelarnya aku, "Anak ayah"! Adik beradikku yang lain semuanya 'anak kerajaan' kerana terpilih untuk belajar di sekolah berasrama... Aku sahaja yang duduk di rumah dan bersekolah harian, sebab itulah aku ditakdirkan ada lebih banyak masa dengan ayah.
Ayah adalah seorang yang hatinya di masjid. Kadang-kadang aku perhatikan jam baru pukul 12 tengahari, ayah sudah masuk ke dalam rumah kedai kami untuk 'check' jam sebab beliau hendak buat persediaan untuk solat Zuhur. Begitulah bila tiba waktu Asar , Maghrib dan Isya'.
Fikiran ayah melangkau sempadan masa dan benua. Ketika orang lain takut anak-anak diKristiankan, ayah telah berani menghantar kami bersekolah aliran Inggeris. Anak-anak ayah bertuah hidup di zaman pengimplimentasian Dasar Ekonomi Baru, jadi aku dan adik-beradikku bernasib baik mendapat biasiswa untuk belajar sama ada di England atau Amerika. Mujur 'aqidah kami selamat... berkat didikan dan doa yang yang tidak pernah putus dari emak dan ayah.
Kesimpulan yang aku boleh buat adalah, rajin-rajinlah berpesan kepada anak-anak. Mereka mungkin buat 'tak dengar' saja sewaktu kita bercakap tetapi otak mereka 'register' sebenarnya pesanan-pesanan dan ingatan yang kita buat. Buktinya adalah, sampai sahaja aku di bumi Amerika, aku dapati, tiap kali aku bercakap, aku selalu tersasul menyebut, "Ayah saya kata..." , tiap kali aku perlu buat keputusan mengenai apa pun wal hal sewaktu aku membesar di Malaysia, aku selalu buat dak je!

Ahad, 9 September 2007

Cerpen Azizi Haji Abdullah

Hari ini dalam Mingguan Malaysia tersiar cerpen Azizi Hj Abdullah. Nak tergelak sakan. Gaya bahasanya bersahaja, penuh dengan stail tersendiri. Mungkin sebab aku baru tulis tentang cakar harimau urutan labah-labah maka cerpen ini lebih menyentuh hatiku. Aku melihat diriku sendiri dalam heroin cerpen ini.... asyik terbelahak angin auk auk bila diurut oleh suaminya Pak Cen!
Dari aku remaja aku minat dan jatuh cinta pada tulisan penulis-penulis tempatan seperti Dato Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdullah, Othman Hj Zainuddin dsbnya. Semuanya bermula bila sekolahku menghadiahkan novel kepada pelajar yang mendapat tiga tempat teratas di dalam darjah masing-masing pada tiap majlis penyampaian hadiah anugerah kecemerlangan akademik yang diadakan saban tahun.
Agaknya amalan ini wajar dipraktikkan semula. Sekurang-kurang kita memberi peluang kepada penulis kita untuk 'bernafas' apabila buku mereka laris di pasaran. Kedua kita boleh mencambah minat membaca anak-anak kita dengan menghadiahkan buku-buku karangan penulis tempatan yang telah memenangi anugerah sayembara atau apa saja yang sewaktu dengannya. Ketiga, anak kita tidaklah merasa hadiah mereka begitu 'hambar' apabila mendapat buku tulis saja!!! Tidak ada nilai tambah pada usaha memupuk minat mereka untuk membaca. Keempat, kita mengkayakan perbendaharaan kata anak-anak kita serta menambahkan pengalaman dan pengetahuan mereka. Yang terakhir ialah kita membentuk kemahiran mereka untuk menulis secara tidak disedari oleh anak-anak kita.

Rabu, 5 September 2007

Armando Valladares

Bertahun dahulu, aku pernah terbaca sajak yang dikarang oleh seorang pejuang kebangsaan Cuba yang bernama (kalau tak silap ejaan) Armando Valladares yang disiarkan di dalam Reader's Digest. Entah kenapa sajaknya amat melekat di hati. Boleh jadi aku terkesima dengan semangat juangnya walaupun dirinya malah rupanya pun aku tak pernah kenali dan beliau itu entah masih hidup atau sudah mati.
Berikut adalah terjemahan bebas dari sajaknya yang asal, yang masih kuat terpasak di dalam kepalaku:
Mereka boleh mengambil penaku
dakwatku
dan kertas-kertasku....
Tetapi mereka terlupa...
Aku masih ada satu lagi dakwat...
darahku!!!
Akan ku tulis dengannya di dinding-dinding penjara.....

Cakar Harimau... Urutan Labah-labah

Aku teringat kepada ceramah ustazah Nor Bahiyah Mahmood suatu waktu dahulu yang heboh diperkatakan orang ramai bila melihat klip video ini.

Ustazah itu bercakap tentang teknik cakar harimau dan urutan labah-labah untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau isteri memicit atau mengurut suami tanpa disuruh.... beliau akan dapat sekian sekian tola emas di akhirat nanti.... Kalau isteri picit atau urut selepas disuruh suami.... 'jatuh'lah sedikit tarafnya iaitu sekian sekian tola perak ganjarannya....

Heh heh heh heheheehe... Cuba lihat klip video ini. Binatang pun suka diurut-urut dan diusap-usap. Inikan pula manusia. Kalau para suami hendak tahu, cuba suatu hari balik kerja, tanpa disuruh dan tanpa diminta, cuba 'kejutkan' isteri yang telah seharian keletihan bekerja di pejabat, balik rumah berhempas pulas membasuh pinggan, membasuh baju, mengemas rumah, menyediakan makan minum..... dengan teknik cakar harimau dan urutan labah-labah yang dilakukan dengan penuh kasih sayang dan seikhlas mungkin!

Orang perempuan ini fitrahnya, kalau si suami layannya dengan baik lagi mesra....insya Allah dia akan balas 10 kali layanan lebih baik lagi kepada suaminya!! Tak percaya... cubalah!

P/S Dato Dr Fadhilah Kamsah pun pernah berceramah di tv3 suatu waktu dahulu, urutan pada bahagian bahu dan kawasan tulang 'scapula' oleh pasangan hidup kita boleh meredakan dan melegakan stress, insya Allah.

Selasa, 4 September 2007

Nostalgia Kentut

Ketika memasukkan klip video tentang orang yang sedang 'melepas' angin semalam, aku teringat beberapa kisah silam mengenai kentut ini.
Sewaktu aku dalam pantang selepas melahirkan anakku yang sulong, 'Abdullah, salah satu yang menjadi kemusykilanku adalah apabila anakku mengalami masalah 'perut yang meragam'. Biasanya bayiku selepas minum susu, aku akan cuba sendawakan (burp) dia. Kadangkala, Allah izin, perutnya masih tetap berangin juga, malah mukanya kadang-kadang berkerut menahan sakit.
Puasku sapu minyak 'Afiat pada bahagian perut serta betis kakinya. Waktu itu Tuhan sajalah yang tahu, aku berdoa semoga anakku boleh kentut untuk melegakan angin di dalam perutnya. Aku perhatikan, jika bayiku boleh kentut, insya Allah masalah itu tidak akan berlarutan sampai dia menangis meronta-ronta kesakitan.
Bila akhirnya anakku dapat kentut, aku rasa lega dan bersyukur sangat. Masa itu aku terfikir sendirian, kalau kita sendawa, kita baca "Alhamdulillah!". Kalau berjanji, kita ucapkan "Insya Allah". Kalau ada musibah, kita kata "Inna lillahi wa inna ilaihi raaaji'un".... Kalau kentut, nak baca apa?
Puas aku mencari di dalam buku tetapi tidak pernah berjumpa jawapannya.... sampailah suatu hari bertahun kemudian aku terdengar seorang penceramah berkata, kalau kentut, bacalah "Alhamdulillah!" Ha'a.... memang pun. Ibu-ibu yang pernah mengalami masalah sepertiku tentu faham betapa bersyukurnya rasa hati bila si anak kecil diizinkan Allah untuk kentut. Suatu nikmat yang amat besar!
Lapan belas tahun kemudian, anak bongsuku ialah seseorang yang selalu membuang angin. Setiap kali Sa'idah kentut, aku tidak dapat menahan senyum bila aku terdengar beliau berkata :"Alhamdulillah!". Mengajar anak kecil adalah umpama menulis di atas batu... insya Allah pesanan kita 'melekat' di dalam kepala mereka.
Teringat zaman aku sewaktu kanak-kanak dahulu, membesar bersama-sama abang-abangku yang nakal; Abang Aaa, abang Baa dan Abang Yan. Seperti kebanyakan budak kampung yang lain, mereka di rumah biasanya berkain pelikat. Bila sedang asyik bermain, tiba-tiba salah seorang dari mereka akan membuat rupa muka yang terkejut, mengangkat jari ke bibir supaya semua orang diam.... sehingga akhirnya mengeluarkan bunyi ledakan 'bom' asli ciptaan Tuhan. Lepas itu, siap mengibas-ngibaskan lagi kain pelikat mereka untuk menyakitkan hati aku dengan 'haruman' bom mereka!

Isnin, 3 September 2007

Berhati-hati Memilih Tempat Untuk 'Melepas'

Teknologi akhir zaman sekarang semakin canggih. Sudah ada teropong infra red seperti mana yang digunakan oleh tentera Amerika di Perang Teluk di mana askar Amerika mudah nampak musuh mereka walaupun di dalam kepekatan kegelapan malam.

Tidak ketinggalan juga kamera infra red.... Hehehehe.... Video klip yang dikirim oleh saudaraku ini menunjukkan seseorang sedang 'melepas' anginnya dan 'ditangkap' oleh kamera infra red di lapangan terbang! Orang perempuan kena hati-hati bila berjalan lepas ni... Jika tidak... senyum ajelah... 'You're on candid camera'lah jawabnya!

Bila Sejadah Yang Berzikir....

Klip video ini dihantar oleh kenalanku. Menurut emel tersebut, kejadian ini berlaku di sebuah negeri di Timur Tengah. Orang terdengar suara orang mengaji di masjid tetapi bila dijengok, tiada sesiapa melainkan tikar sejadah yang sedang dalam posisi dalam klip video ini sedang mengalunkan al Quran! Masya Allah!

Ahad, 2 September 2007

Perumpamaan Orang Yang Mengumpat

Rasulullah saw mengumpamakan orang yang mengumpat bagaikan memakan daging saudara sendiri. Pengarah video ini bijak memaparkan tegahan mengumpat tersebut.

Video ini patut ditonton oleh orang yang mahu insaf.