Rabu, 15 Oktober 2008

Kenangan Lama Mengusik Jiwa

Tengahari tadi aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon dari seorang sahabat lama di zaman aku muda dahulu sewaktu tahun-tahun aku di Kalamazoo(Michigan) dan Terre Haute(Indiana). Puas aku cuba meneka suara siapa... dengan slanga utaranya yang pekat, otakku buntu hendak mengingatkan nama tuan empunya suara yang sudah bertahun aku tak dengar itu.
Kak Gayah rupanya! Beliau ada urusan di pejabat Kak Siti Khamnah (SIRIM) di Shah Alam dan agaknya baru mendapat nombor telefonku. Ruang hatiku digamit segala memori lama zaman muda yang aku telah lalui di tahun-tahun 1980an di Kalamazoo dan Terre Haute itu. Suatu zaman hidupku yang tak mungkin akan berulang dan berputar balik kembali, kecualilah diizinkan Allah berlaku sesuatu yang magis seperti isi kandungan novel trilogi karangan Ramlee Awang Mursyid yang baru selesai aku baca dua hari sudah iaitu "Bagaikan Puteri", "Cinta Sang Ratu" dan "Hijab Sang Pencinta"!!!
Ahh! Kalaulah hidup ini bagaikan dalam novel-novel itu. Walaupun perbualan di antara aku , Kak Gayah dan Kak Siti Khamnah tidak lama, tetapi panggilan telefon itu benar-benar mengusik jiwaku. Mungkin sebab aku baru menulis kenanganku tentang dua orang dari banyak-banyak sahabat sejati yang mewarnai hidupku selama ini maka emosi aku terusik benar.
Terbayang dan masih terngiang-ngiang lagi di cuping telinga suara Kak Norhayati Alwi yang sifatnya suka bercakap secara berterus terang itu. Apa khabar agaknya Kak Yati kini? Yang berputar di kepalaku kini adalah suara Kak Yati yang sering merendah diri tentang rupa parasnya, mengajukkan suara neneknya di dalam slanga Jawanya:
"Yatik! Hidungmu pesek... bagei ketumbar di belah duak!"
Bila fikir-fikir balik, hendak tergelak rasanya bila malam pertama kami berempat (aku, Mazita, Suriaty dan arwah Noor Hawa Hj Zaidon) sampai di Kalamazoo, selesai mandi sebelum tidur, salah seorang dari kami telah berkata: " Weh! Bayangkanlah... Kita nak dok sini lagi 4 tahun!!! Isk.. isk...isk...laaaamanya!", agaknya rasa 'homesick' telah mula menyelinap dan menusuk jiwa. Empat tahun selepas itu, pada hari konvokesyen, salah seorang dari kami menyebut balik insiden tersebut dan terasa amat baru yakni bagaikan semalam sahaja kata-kata klasik itu diungkapkan!
Apa khabar agaknya Kak Jamilah Ibrahim dari Melaka yang sering menuturkan ayat "Macangge... macangge" (semacam apa benda).
Apa khabar agaknya Kak Oli yang pernah mengarahkan aku dengan suara yang tegas di lapangan terbang Subang (semasa kami balik dari bercuti di musim panas 1981) supaya "Jangan bergerak!", (kerana bimbang aku hilang dari pandangannya dan menyusahkan beliau untuk mencariku) sampaikan terkejut beruk saudara-maraku. Setiap kali abang-abang atau ibuku bercakap mengenai kakak seniorku yang satu ini, mereka akan merujuknya sebagai kakak yang berkata "Jangan bergerak!!!" tu... Bagaikan komando tentera saja lagaknya, tidak sepadan dengan imej Kak Oli yang bertudung labuh dan berjubah!
Sahabatku Rosni Abdullah pula rajin melawak tentang "(Bunga) Ros ni cantik!"... hik hik hik... perasan la tu. Begitu juga kenanganku di Spindler Hall, selepas aku habis mendengar Si M. A. bercerita dia 'bergaduh' dengan Si B. P., aku telah bersenandung di depannya lagu kumpulan Black Dog Bone untuk mengusiknya dan menghiburkan hatinya yang lara:
"Aku tak pernah meminta kau ... menyayangi diriku...
Aku tak pernah memaksa kau ... mencurahkan hatimu...
Kita berkawan mesra... jujur serta setia....
Jangan kau musnahkan pula dengan api cinta!!!..."
Tergelak besar Si M.... Beliau memang tidak menyangka aku boleh menyanyi, yelah, dengan watakku yang pendiam, imejku yang sentiasa bertudung dan berbaju kurung, aku begitu 'terasing' di bumi Amerika di kala rakan sebaya lain semuanya kelihatan ranggi dan up-to-date dengan jeans, hmmm.... fikir-fikir balik, memang jelas aku nampak 'kekampungan' benar!
Kesimpulan yang aku buat masa itu adalah bahaya juga bercinta ketika sedang belajar, jika belum ada ikatan yang sah dari segi agama.... Kalau bergaduh sewaktu dekat masa peperiksaan... ugh! Berserabut jadinya... sesuatu yang aku cuba elakkan di zaman remajaku. Kebiasaannya aku perhatikan, bagi pasangan kawan-kawan dan para pelajarku yang bercinta sewaktu belajar, perpisahan dan cubaan memang akan terjadi masa dekat-dekat waktu peperiksaanlah!
(Alang-alang menyebut hal ini, pada anak-anakku serta para pelajarku, aku nasihatkan agar, jika berkelapangan, bacalah novel karangan Habiburrahman El Shirazy yang bertajuk "Ayat-ayat Cinta". Seelok-eloknya, hiduplah bagai hero dan heroin dalam novel tersebut, Si Fahri dan Aisha, yakni bercintalah hanya selepas sah diijabkabulkan (dan bukan sebelumnya). Insya Allah selamat di dunia dan di akhirat!)
Kak Ruhaizah, Kak Munirah, Kak Dud, Kak Zub (arwah), Suriaty, Nor Hawa (arwah), Najwa, Rosni, Zurina, Ita, Marini, Mariani, Mariana, (errr... siapa M yang seorang lagi tu...? Terlupa aku kerana terlampau lama benar tidak menyebut nama isteri Yunus Tasim ini. Yang pastinya bukan Mariano! Haaa... Maziah!), Kak Doli, Kak Norma, Kak Siti Hindon, Wahidah, Kak Mah, Kak Ta'aa, Kak Norazan, Kak Jamilah, Kak Yan Ali, Kak Yan Ghazali, Kak Yan rakan sekelasku dalam subjek Geologi, Kak Yati Ibrahim, Kak Yati Hashim, Kak Yati Alwi, Yati Bagan Lebai Tahir, Kak Azie, Kak Fouziah, Roslida Ali, Kak Ubaidah, Kak Gayah, Kak Siti Khamnah (sekadar menyebut beberapa nama yang masih bersarang di kepala) adalah antara nama-nama insan yang pernah mewarnai hidupku suatu waktu dulu di zaman remajaku di bumi Amerika. Semoga Allah merahmati kalian semua di mana jua berada!!!
Alang-alang sudah berbicara tentang kenangan kehidupanku di USA, ingin aku titipkan pesan kepada anak-anakku, para pelajar serta ibubapa yang berhasrat ingin menyambungkan pelajaran di benua Amerika Utara secara khususnya dan di mana jua secara amnya. Penting amat jiwa kita dipasakkan dengan ruh Islam sebelum pergi belajar di negara orang dan semasa di perantauan. Berazamlah untuk menjadi bagaikan ikan yang hidup dan berenang di lautan luas yang masin tetapi semasin mana pun air laut di sekelilingnya, sedikit pun tidak memasinkan daging ikan tersebut (yakni tidak menggugat iman). Sedari awal, kita mesti merasa 'izzah (mulia) dengan Islam yang kita anuti dan menanam tekad untuk tiada kompromi langsung dalam bab aqidah. Kita pergi belajar di negeri asing semata-mata untuk menimba ilmu yang ada pada cerdik pandai mereka dan mempelajari kepelbagaian budaya yang terdapat di dunia ini sebab bijak pandai ada berkata: Jauh berjalan, luas pemandangan.
Beringatlah untuk bersahabat sentiasa dengan sahabat yang solehah kerana sahabat yang solehah ini diumpamakan bagai penjual minyak wangi. Kalau pun kita tidak beli minyak wanginya, bau harumnya akan tetap datang kepada kita. Sahabat yang su' (jahat) adalah diumpamakan seperti tukang besi. Walaupun kita duduk jauh daripadanya dan terselamat dari percikan apinya yang mungkin mengenai tudung kita, kita masih terganggu dengan asap mereka.
Apa pun, kena banyak-banyaklah berdoa agar sentiasa selamat sejahtera dari awal sampai ke penghabisan umur kita. Bukankah doa itu merupakan senjata orang mukmin?

Selasa, 23 September 2008

Sahabat Sejati II

Dalam tulisanku yang lalu, aku telah bercerita tentang sahabatku sewaktu aku sedang belajar di peringkat sarjana. Kali ini aku akan bercerita tentang sahabatku sewaktu aku sedang belajar di peringkat ijazah sarjana muda.
Aku mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Western Michigan University, Kalamazoo, Michigan dari 1980-1984. Aku teramat bertuah kerana Allah telah ketemukan aku dengan seorang seniorku yang bernama Siti Fatimah Ahmad Zabidi dari Kampong Paloh Pintu Geng, Kelantan, yang membahasakan dirinya Kak Mah.
Seperti Kak Yan (Mahiran Ghazali) yang aku telah ceritakan sebelum ini, Kak Mah juga adalah merupakan anak yang kedua dalam keluarganya dan beliau mempunyai adik yang ramai. Boleh jadi ketika Allah ketemukan kami, beliau rindukan pada adik-adiknya di Malaysia, maka beliau curahkan segala kasih sayangnya padaku sebagai pengubat rasa rindunya pada adik-adiknya (seperti mana dalam kes Kak Yan juga). Yang untungnya... akulah (Alhamdulillah)!!!
Kak Mah, kalau bab matematik, memang 'terror' benar. Memang beliau 'major' dalam bidang matematik pun. Aku belum pernah lagi seumur hidupku jumpa seorang pelajar Melayu, yang duduk saja-saja, boleh terlintas untuk memikirkan sesuatu yang baru atau hendak buktikan sesuatu (dalam bidang matematik), wal hal bukannya kerja sekolah dia pun! Ini menggambarkan betapa mendalamnya minat Kak Mah dalam bidang matematik.
Aku sering berguru dengan Kak Mah dan beliau sering mengambil berat tentang perkembangan pelajaranku bagaikan seorang kakak kandung. Pernah sewaktu kami tinggal serumah di Kenbrooke Court, masa itu tengah musim sejuk. Beliau telah mengejutkan aku di tengah-tengah kesejukan malam buta kerana beliau tahu aku belum siapkan kerja sekolahku.
Aku tenyeh-tenyeh mata lalu bangun mengadap buku. Oleh kerana aku ter'missed' kelas beberapa hari kerana jatuh sakit, bila aku kembali ke kuliah, aku agak terpinga-pinga kerana pensyarahku telah separuh jalan mengajar tentang Gauss-Jordan dan Gaussian Elimination Method. Terkebil-kebil aku melihat soalan dan tidak tahu bagaimana hendak selesaikan permasalahan matematik yang ditugaskan. Merasa tawar hati, aku kembali menarik selimut dan bercadang menyambung tidurku.
Melihatkan keadaanku, Kak Mah meletakkan bukunya, dan menggesa aku duduk supaya beliau dapat mengajarku satu persatu dari awal sampai aku faham. Sampai ke hari ini, peristiwa beliau bersabar mengajarku itu menjadi kenangan yang indah bagiku. Aku menjadi diriku hari ini adalah berkat didikan berbagai-bagai 'sifu' dalam hidupku, dan di antara mereka yang banyak berjasa padaku adalah Kak Mah inilah!
Allah izin, Kak Mah terlibat dalam suatu kemalangan ngeri sewaktu beliau dalam perjalanan balik dari Chicago ke Kalamazoo kerana menghantar rakan kami balik ke Malaysia. Alhamdulillah beliau terselamat tetapi boleh jadi beliau mengalami gegaran otak sampaikan beliau terpaksa bercuti agak lama dan kembali berubat di Malaysia buat sementara waktu selepas pulih dari koma.
Kesannya, Kak Mah kadang-kadang jadi terlupa tentang beberapa perkara tetapi bab kemahiran dan pengetahuan matematiknya, alhamdulillah sedikit pun tidak berkurangan! Bila beliau kembali semula ke Kalamazoo, kami tinggal di rumah berasingan tetapi hubungan kami masih lagi rapat.
Aku masih ingat sewaktu aku ambil subjek "Projective Geometry", aku terkial-kial dan menghadapi masalah nak buktikan pelbagai kerja sekolah yang profesor aku sediakan. Almaklumlah, aku kena ubah orientasi pemikiranku. Selama ini aku belajar Euclidean Geometry, fikiranku telah dibasuh bahawa dua garis yang selari, tidak akan bertemu sampai bila-bila. Dalam Projective Geometry, dua garis yang selari, boleh pula dikatakan bertemu di suatu ketika! Tak ke suatu kerja...err... 'kurang siuman' tu?
Suatu malam, sewaktu aku mati akal bagaimana hendak buktikan teorem yang profesor aku sediakan, aku telah mengambil inisiatif menelefon Kak Mah dan membacakan padanya permasalahan yang diutarakan. Setelah puas mencuba malam itu tapi menemui jalan buntu, aku tarik selimut dan terus zzzzzz....
Rupa-rupanya Kak Mah tidak tidur sepanjang malam itu! Beliau merasa tercabar dengan permasalahan itu dan bertekad mencari pembuktian yang aku dambakan. Esoknya, dekat subuh, beliau menelefon aku dan dengan gembiranya mengumumkan beliau sudah berjaya menemui kaedah pembuktian yang sewajarnya. Aku hanya dapat menggelengkan kepala melihat 'kegilaan' Kak Mah pada subjek matematik ini.
Pagi-pagi itu, meredah dalam salji tebal, Kak Mah datang dengan keretanya ke apartmentku, menghantar aku ke kelas. Oleh kerana kuliahku hanya akan bermula pada pukul 8 pagi (kami sampai terlampau awal), dalam remang-remang cahaya koridor bangunan, kami duduk di tangga sambil Kak Mah terangkan secara detail satu persatu kaedah pembuktian yang beliau telah jumpa sepanjang malam itu sampai aku betul-betul faham. Setelah itu beliau balik untuk tidur agaknya kerana tidak tidur semalaman!
Bila kuliah pagi itu bermula, aku angkat tangan dan konfiden je berjalan ke papan hitam bila profesorku bertanya siapa mampu buktikan persoalan yang ditugaskan pada kami sebelum itu. Selesai menulis di papan hitam, gembiranya profesorku kerana pelajarnya berjaya membuktikan 'lemma' yang beliau utarakan. Kalau tidak silapku, profesorku berkata, selagi belum dibuktikan benar, tarafnya hanya 'lemma'. Setelah berjaya dibuktikan, barulah tarafnya naik menjadi 'theorem'!
Sejak hari itu, beliau akan selalu dan berulang kali merujuk kepada pembuktian yang telah aku lakukan di dalam kuliah pada hari tersebut sebagai "The Zainuddin Theorem", sampaikan pelajar terbaik dalam kelasku naik berbulu kerana cemburu... Sampai hari ini profesorku itu tidak tahu, sebenarnya, sepatutnya beliau patut menggelarkannya "The Ahmad Zabidi Theorem" kerana Kak Mahlah yang sebenarnya telah berjaya membuktikan 'lemma' tersebut... heh heh heh....
Kak Mah sekarang ini ialah seorang pensyarah matematik di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, setelah berkhidmat beberapa lama di UPM Serdang dan Uniten, kalau tidak silap. Bertuahlah sesiapa yang dapat berguru dengannya sebagaimana aku. Benarlah kata bijak pandai, kalau kita berkawan dengan orang yang cerdik, sedikit sebanyak, kecerdikannya akan tergesel (rub off) juga pada kita yang berkawan dengannya. Pada anak-anakku serta para pelajarku, berhati-hati dan pandai-pandailah memilih kawan dan semoga kalian sentiasa bernasib baik sepertiku!

Rabu, 17 September 2008

Sahabat Sejati

Idea tercetusnya pengkisahanku kali ini terbit dari hasil pemerhatianku terhadap keakraban persahabatan yang terjalin di antara anakku Alang dengan kawan-kawan rapat sekelas dengannya, Tajul Solihin dan Saifullah. Di lain tulisan, insya Allah aku akan bercerita mengenai persahabatan mereka.
Kisah ini terjadi sewaktu aku sedang belajar di Indiana State University, Terre Haute, Indiana, ketika aku sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana. Aku terasa amat bernasib baik kerana Allah telah menganugerahkan aku seorang sahabat sejati yang sampai hari ini aku belum jumpa penggantinya lagi. Kalau pelakon Rashidi Ishak ketika diminta oleh pengacara rancangan "Jangan Tidur Lagi" di TV3 untuk menggambarkan isterinya, Vanidah Imran yang juga merupakan seorang pelakon, telah mengeluarkan kata-kata yang membawa maksud, baginya, Vanidah adalah umpama 'hadiah dari Tuhan' untuknya; maka begitulah juga rasa hatiku, sahabatku Mahiran Ghazali adalah umpama suatu hadiah yang teramat berharga dari Allah. Suatu mutiara yang hilang dan kehilangannya aku tangisi sampai ke hari ini. Beliau masih hidup tetapi kami terpisah sebab terikat dengan tanggungjawab, kesibukan serta membawa haluan hidup masing-masing.
Banyak suka duka yang aku lalui sepanjang aku bersamanya di antara 1984-1985. Banyak juga 'permata' yang aku pelajari darinya. Waktu itu aku masih muda belia dan selalu bersikap 'playful'. Boleh jadi kerana aku belum ada tanggungjawab seperti kini, maka aku menjadi begitu. Boleh jadi sebab aku anak yang agak penghujung di dalam salasilah keluargaku maka watak aku sedikit manja.
Mahiran seringkali menggunakan singkatan MG (untuk Mahiran Ghazali) bila beliau menulis namanya. Kalau terjumpa dek aku, aku akan senyap-senyap menambah huruf 'R' di hujung namanya. MGR adalah usikanku untuknya (sempena nama MG Ramachandran, bekas pelakon filem Tamil yang terkenal dan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu!).
Allah anugerahkan Mahiran dengan suara yang teramat merdu. Beliau tidak gunakan kemerduan suaranya untuk menyanyi tetapi untuk mengaji Quran sehingga aku gelarkannya "Bul-bul". Beliau membahasakan dirinya 'Kak Yan' padaku kerana lebih tua beberapa bulan dariku.
Mungkin sebab beliau kerap mendengar kaset mengaji Quran yang didendangkan oleh arwah Ustaz Ismail Hashim, johan qari berkali-kali peringkat kebangsaan dan antarabangsa; Shalini, johan qariah dari Indonesia serta Khudzari, qari dari Timur Tengah, satu kelebihannya ialah beliau boleh mengajukkan stail bacaan dan melagukan Quran tidak tumpah seperti mereka! Masalahnya ialah pada kami teman-teman serumahnya! Ini adalah kerana, contohnya, katalah hari itu adalah gilirannya untuk memasak, maka sambil-sambil memasak, beliau akan mengalunkan bacaan Quran yang dihafalnya. Kita yang mendengar suaranya akan secara tidak disedari terberhenti kerja sebab terpana mendengar kemerduan suaranya.
Boleh fahamlah bila aku terbaca kisah tentang kelebihan kemerduan suara yang Allah anugerahkan pada nabi Daud, mengapa bila terdengar suaranya, burung-burung yang sedang terbang di udara pun boleh terlupa untuk terbang! Teman serumah yang juga merupakan senior kami, Kak Dolita Hashim suatu hari pernah datang ke bilik kami, meminta kami menutup pintu bilik bila-bila Mahiran hendak mengaji Quran kerana kalau waktu itu Kak Dolita tengah belajar di bilik belakang, katanya pen pun boleh terlepas dari tangan kerana terlampau ghalit mendengar suara si Mahiran!!!
Aku sering kali peringatkan para pelajarku untuk saling mengambil berat tentang kawan. "Kalau boleh, pasanglah niat untuk graduate sama-sama!", adalah pesananku bila aku dapati sebahagian pelajarku tersangat pandai dan ada sekelompok yang lain dalam kelas yang sama, kelajuan otak mereka menyelesaikan permasalahan matematik agak perlahan sedikit. Dari sejak aku mula bekerja sampai sekarang, kisah aku dan Mahiran sering aku jadikan bahan contoh tauladan. Aku minta pelajar yang pandai rajin-rajinlah mengajar yang kurang pandai dan supaya mereka tidak kedekut ilmu. Lagi rajin mereka mengajar kawan, insya Allah lagi banyak Allah akan tambah ilmu mereka sebenarnya!
Begini ceritanya. Allah beri, Mahiran teramat 'terror' dalam subjek Statistik. Pusinglah soalan itu macam mana pun, beliau mampu menjawabnya. Aku pula, subjek Statistiklah yang paling aku benci. Bila sudah benci, maka pencapaianku tentulah teramat 'kureng'!
Oleh kerana aku sekelas dengannya serta Kak Fouziah Jamaludin, jiranku, setiap kali pensyarah Statistikku pulangkan kertas ujian atau kuiz, oleh kerana kami sering duduk sebaris, bila tiba pada kertasku, pensyarahku akan terbalikkan kertas demi menjaga airmukaku (boleh jadi beliau bimbang aku akan terasa malu pada kawan-kawan kerana di antara kami bertiga, markahku lah yang selalu rendah!). Beliau tidak tahu di antara aku dan Mahiran, aku tidak pernah merahsiakan apa-apa, termasuklah markahku.
Setiap kali aku tunjukkan kertas ujianku, kalau markahku rendah daripadanya, beliau akan mengeluh dan berkata: "Ini silap kak Yan juga sebab tak ajar Taaherah betul-betul supaya markah Taaherah sama dengan Kak Yan atau lebih tinggi dari kak Yan!"
Beliau akan berusaha dengan lebih gigih mengajarku sampai tengah malam sampai aku betul-betul faham. Oleh kerana malam sunyi dan dinding pemisah rumah kami hanya kayu, jiranku Kak Fouziah pernah memberitahu beliau sampai terdengar suara Mahiran mengajarku tiap-tiap malam, lebih-lebih lagi bila nak dekat hari ujian.
Menjadi rutin ahli rumahku untuk mengadakan ta'lim selepas solat Maghrib berjemaah. Ada suatu masa itu, kami bergilir-gilir membacakan bab demi bab buku "Memoirs of Hassan al Banna". Rupanya Hassan al Banna pun pernah mempunyai seorang sahabat yang rapat dengannya yang bernama Ahmad Affendi as Sakri. Selain dari itu tertulis dalam buku itu kisah Hassan al Banna pernah sewaktu hendak bersiap menghadapi ujian, risau sangat agaknya sampai termimpi-mimpi.
Beliau mimpikan seorang alim berbicara dengannya mengenai suatu topik dan keesokan harinya persoalan yang dibicarakan itulah yang ditanya dalam peperiksaannya. Sudah tentulah beliau dapat menjawabnya dengan baik kerana sudah di'coached'kan dalam mimpi tentang jawapannya!
Takdirnya pula, semester itu, aku dan Mahiran mengambil satu subjek di mana pensyarahnya tidak berapa reti mengajar walaupun bergelar profesor. Dalam kelas, beliau hanya bacakan saja apa yang ada dalam buku teks!
Bila tiba hari uijan, malamnya aku bermimpi, soalannya sebiji keluar dari buku teks, mukasurat sekian-sekian. Dalam perjalanan kami ke kelas, aku maklumkan pada Mahiran tentang mimpiku dan soalan yang keluar. Aku cuba fahami betul-betul isi mukasurat tersebut, tetapi Mahiran buat acuh tidak acuh sahaja tentang ceritaku. Menurut beliau, "Mimpi tu hanya mainan tidur!" Yelah... aku diam sahaja. Aku pun tahu aku bukan sewarak Hassan al Banna sampai perolehi 'tips' menjawab soalan dalam mimpi !
Rupa-rupanya, sungguh! Pensyarahku memang ambil soalan sebiji macam dalam mimpiku. Apa lagi, kenduri besarlah aku, dan aku telah dapat menjawab dengan teramat mudah. Bila tiba hari kertas ujian kami dipulangkan, buat pertama kalinya markahku mengatasi markah Mahiran! Kegembiraanku terhenti bila kawanku itu berkata: "Ini mesti salah Kak Yan ni, tak belajar betul-betul supaya markah Kak Yan sama atau lebih dari markah Taaherah!"...
Huh! Buat kot mana pun tak kena. Aku tak akan dapat mengatasi ketinggian akhlaknya padaku dalam bersahabat... Aku selalu mendoakan agar semua anak-anakku serta para pelajarku akan sentiasa bertuah sepertiku, berpeluang mendapat sahabat sejati seperti Mahiran Ghazali.

Selasa, 9 September 2008

Akhirnya, kerinduan ini terubat jua...

Adik bongsuku sekeluarga balik bercuti ke Malaysia dari 16 - 30 Ogos lepas. Aku sekeluarga pun ambil cuti seminggu dan balik ke Selama kerana hendak meraikan kepulangannya. Kalau tidak balik ke kampung sementalahan ada peluang ini (Alhamdulillah, dengan izin Allah, terkena pula cuti UiTM bersamaan dengan cuti sekolah!), entah bila pula boleh berjumpa anak-anak saudaraku yang seramai lapan orang itu; di mana anak adikku yang bongsu aku tidak pernah tengok lagi. Alhamdulillah, akhirnya, kerinduan ini terubat jua...

Anak-anak saudaraku kelihatan semakin matang. Muttaqee, Sajjad, Saalik (ketiga-ketiga beradik lelaki ini makin meningkat remaja, semakin meningkat kacaknya, agaknya kalau terjumpa dek Datuk Yusof Haslam, kalau rupalah yang menjadi ukuran, mungkin ditawarkan untuk berlakon dalam filemnya!), Afifa (wajahnya mengingatkanku pada Kim Bassinger), Haajar (wajahnya mengingatkanku pada pelakon yang melakonkan watak Sue Ellen dalam cerita Dallas), Suhaylah (kepulangannya kali ini membawa watak yang amat berbeza dari dahulu, beliau menjadi teramat pendiam wal hal kali terakhir beliau balik dahulu mulutnyalah yang paling becok sekali.... pot pet pot pet... kalah sedikit sahaja daripada Haajar), Farhanah (wajahnya mengingatkanku pada isteri Tom Cruise, emak si Suri) dan Faris (haaa... yang seorang ini mengingatkanku pada wajah anak sulongku 'Abdullah sewaktu Abang Long kecil dulu .... terutama pada bulat matanya!!!); mereka mengambil masa juga hendak menyesuaikan diri dengan perubahan waktu. Bila kami jaga, mereka tidur. Bila kami tidur, mereka pula berjaga.

Mujurnya anak-anak saudaraku jenis yang sabar. Bila aku terjaga pukul 3 ke 4 pagi, aku dapati mereka duduk senyap-senyap dalam gelap, boleh jadi tidak mahu mengganggu kami yang tengah lena tidur. Aku tidak pernah mendengar anak-anak saudaraku menjerit atau bersuara kuat. Boleh jadi sebab adikku dan suaminya tidak pernah meninggikan suara di depan anak-anak mereka (tidak sepertiku... hah! Boleh jadi sebab aku pensyarah... maka suaraku kuat memanjang sampai ke rumah pun terbawa-bawa lagi kuatnya!). Boleh jadi mereka kepanasan, tetapi mereka tidak pula memetik suis kipas. Mungkin mereka masih merasa kekok di rumah Opah sendiri, apa tah lagi Opah pun tidak tahu berbahasa Inggeris kecuali dua tiga patah perkataan seperti 'yes' dan 'no' sahaja.

Adikku beritahu, selain daripada sekolah awam dan sekolah swasta, mereka ada pilihan untuk bersekolah di rumah sahaja, dan anak-anaknya mengikuti apa yang dia bahasakan sebagai 'homeschool'. Anak-anaknya bersekolah di rumah. Kerajaan Amerika telah bekalkan komputer untuk setiap seorang dari anaknya dan mereka belajar dari rumah menggunakan internet sahaja. Dia sebagai ibu yang tidak bekerja, akan 'monitor' perkembangan pembelajaran anak-anaknya di rumah.

Boleh jadilah oleh kerana suasana pergaulan mereka masih terkawal, setakat aku jumpa mereka bulan lepas, akhlak mereka Alhamdulillah ok. Sewaktu zaman aku belajar di USA di tahun 1980an dulu, walaupun ketika itu aku masih bujang lagi, tetapi aku terasa betapa seriyaunya diri ini hendak membesarkan anak-anak di Amerika Syarikat. Besar sangat dugaannya; dari pengaruh televisyennya, suasana akhlak remaja di sana yang semakin rosak, perzinaan yang berleluasa, minuman keras diminum macam kita di sini minum kopi atau teh tarik saja dan suasana perhambaan pada Allah yang hampir tiada!

Aku doakan adikku dan suaminya serta anak-anaknya diberi kekuatan dan diselamatkan Allah dari fitnah Dajjal. Moga mereka kuat untuk hidup dan mati mempertahankan iman dan Islam di bumi jahiliyah itu. Aku perhatikan sebenarnya di bumi mana sahaja kita berada di akhir zaman ini, sama sahaja rasanya. Pelbagai fitnah menjadi-jadi di serata dunia. Malaysia pun apa kurangnya berbanding dengan Amerika. Bayi luar nikah dicampakkan di tong sampah sudah menjadi suatu fenomena yang bukan luar biasa lagi bagi kita di sebelah sini.

Yang penting sekarang, usaha sebersungguh mungkin untuk menyemai dan menanamkan iman serta semangat jati diri yang kuat pada anak-anak kita. Selepas itu, tidak kering lidah berdoa bagai apa lagi pada Allah azza wa Jalla mohon diselamatkan zuriat kita dari cubaan dan fitnah dunia.

Sesungguhnyalah.... laa haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azeem!!!

Isnin, 30 Jun 2008

Kisah Alang Dan Perlawanan Catur

Anakku Alang baru-baru ini meminta izinku untuk belajar bermain catur dengan kawan baik yang sekelas dengannya, Saifullah, anak rakan sekerjaku, Dr Mohd Sabri, pensyarah CITU, UiTM Terengganu. Aku izinkan, memandangkan aku sendiri tidak pernah dan tidak pandai bermain catur, jadi mana mungkin aku perturunkan ilmu selok belok bermain catur kepadanya. Anakku yang seorang lagi, yang aku panggil Andak (namanya Sari as Saqati, iaitu abang kepada Alang), katanya tahu sedikit sebanyak tentang permainan catur ini, boleh jadi beliau belajar daripada rakan sebayanya di sekolah.
Dua minggu yang lalu, Alang balik sahaja daripada sekolah, sekali lagi meminta izin untuk menyertai kejohanan catur yang diadakan di Sekolahnya, Sekolah Rendah Sura. "Aik? Baru belajar main dua tiga hari dah nak masuk bertanding? Ada harapan ke nak menang ni?", fikirku sendirian. Hmm... gasaklah. Rupanya, untuk berlaku adil, pertandingan itu dibahagikan kepada kepada dua peringkat umur. Alang yang baru berumur lapan tahun masuk bertanding dalam peringkat I, manakala abangnya Andak yang berumur sepuluh tahun akan bertanding untuk umur peringkat II.
"Ma, doakan kemenangan Alang, ye? Doakan lawan Alang tak berapa kuat, ye Ma?", pinta Alang sebelum pergi pagi Sabtu pertandingan tersebut dijalankan. Waktu itu aku sedang sibuk membasuh pinggan di dapur. "Yelah. Mama doakan, insya Allah!", jawabku sambil tersenyum. "Doakan kemenangan Andak juga Ma!", sampuk Andak pula. "Yelah. Mama doakan kemenangan anak-anak mama, insya Allah", balasku.
Petang itu, dari dapur, aku terdengar hilai tawa anak-anakku sewaktu mereka meletakkan basikal masing-masing di perkarangan rumah. Alang dengan bangganya menunjukkan piala kemenangan kepadaku. "Ma, Alang dapat jadi naib juara!!!", kata Alang, sambil menjulang trofi kemenangannya.
"Alhamdulillah! Andak?", tanyaku bila melihat Andak pun memegang trofi juga tetapi kecil sedikit daripada adiknya. "Andak dapat nombor enam, Ma! Lawan Andak banyak yang lebih handal", jawab Andak. Aku peluk kedua-dua anak terunaku. Terharu dengan minat dan kesungguhan mereka. "Alhamdulillah. Katalah Alhamdulillah, Allah lah yang mengizinkan kemenangan Alang dan Andak!", peringatku pada anak-anak. "Alang dapat nombor dua, siapa yang menjadi juara?", tanyaku. "Tentulah Saifullah, Ma!", jawab Alang dan Andak serentak.
Malam itu, aku tergelak sendirian bila melihat Alang tertidur dalam keadaan masih menggenggam trofi kemenangannya!

Kisah Alang Dan Burung Kelicap

Tidak lama dahulu, anakku yang kami gelar Alang (namanya Ahmad Mubarak) memberitahuku bahawa seekor burung kelicap telah membuat sarang di pohon buah mata kucing betul-betul di tepi tingkap bilik adik bongsunya Sa'idah. Aku diam sahaja kerana aku memang maklum anakku yang satu ini, kecuali kucing, memang sukakan binatang.

Suatu hari bila aku lalu di bawah pohon mata kucing tersebut, aku terperasan ada 'cellophane tape' serta secebis kapas melekat kepada sarang burung tersebut, lantas aku bertanya kepada Alang apa sebenarnya yang telah terjadi. Alang memaklumkan bahawa, asalnya ada 2 biji telur burung, akan tetapi, boleh jadi kerana angin bertiup kuat, maka sebiji telur burung telah jatuh terhempas dari sarang. Alang rupanya berikhtiar menyelamatkan sebiji telur burung yang tinggal dengan cuba menampal lubang di sarang burung tersebut.

Selepas hari itu, aku perasan, bila -bila beliau berkesempatan, Alang rajin mengaji Quran di tepi tingkap berdekatan dengan sarang burung tersebut. "Alang ngaji untuk anak burung, Ma!" Aku terdiam. Rasa hendak tergelak pun ada. Macam-macam Alang ni. Setahuku, bila seorang ibu mengandung, si ibu atau si ayah bayi tersebut akan kerap mengaji Quran dan berdoa semoga anak yang di dalam kandungan akan menjadi anak yang sihat, soleh, pintar, beriman kepada Allah serta segala doa yang baik-baik yang dapat difikirkan. Tidak pernah pula aku terdengar orang mengaji untuk anak burung yang masih dalam pembikinan!

Ahad, 2 Mac 2008

Akibat Seks Bebas....

Seorang kenalan dalam internet telah menghantar gambar ini padaku yang diberi tajuk "akibat seks bebas".
Mulanya saspen juga...ingatkan apa benda.... rupa-rupanya, gambar ini. Heh heh heh hehehe... Kali ini aku pulak yang 'terkena'.