Rabu, 17 September 2008

Sahabat Sejati

Idea tercetusnya pengkisahanku kali ini terbit dari hasil pemerhatianku terhadap keakraban persahabatan yang terjalin di antara anakku Alang dengan kawan-kawan rapat sekelas dengannya, Tajul Solihin dan Saifullah. Di lain tulisan, insya Allah aku akan bercerita mengenai persahabatan mereka.
Kisah ini terjadi sewaktu aku sedang belajar di Indiana State University, Terre Haute, Indiana, ketika aku sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana. Aku terasa amat bernasib baik kerana Allah telah menganugerahkan aku seorang sahabat sejati yang sampai hari ini aku belum jumpa penggantinya lagi. Kalau pelakon Rashidi Ishak ketika diminta oleh pengacara rancangan "Jangan Tidur Lagi" di TV3 untuk menggambarkan isterinya, Vanidah Imran yang juga merupakan seorang pelakon, telah mengeluarkan kata-kata yang membawa maksud, baginya, Vanidah adalah umpama 'hadiah dari Tuhan' untuknya; maka begitulah juga rasa hatiku, sahabatku Mahiran Ghazali adalah umpama suatu hadiah yang teramat berharga dari Allah. Suatu mutiara yang hilang dan kehilangannya aku tangisi sampai ke hari ini. Beliau masih hidup tetapi kami terpisah sebab terikat dengan tanggungjawab, kesibukan serta membawa haluan hidup masing-masing.
Banyak suka duka yang aku lalui sepanjang aku bersamanya di antara 1984-1985. Banyak juga 'permata' yang aku pelajari darinya. Waktu itu aku masih muda belia dan selalu bersikap 'playful'. Boleh jadi kerana aku belum ada tanggungjawab seperti kini, maka aku menjadi begitu. Boleh jadi sebab aku anak yang agak penghujung di dalam salasilah keluargaku maka watak aku sedikit manja.
Mahiran seringkali menggunakan singkatan MG (untuk Mahiran Ghazali) bila beliau menulis namanya. Kalau terjumpa dek aku, aku akan senyap-senyap menambah huruf 'R' di hujung namanya. MGR adalah usikanku untuknya (sempena nama MG Ramachandran, bekas pelakon filem Tamil yang terkenal dan bekas Ketua Menteri Tamil Nadu!).
Allah anugerahkan Mahiran dengan suara yang teramat merdu. Beliau tidak gunakan kemerduan suaranya untuk menyanyi tetapi untuk mengaji Quran sehingga aku gelarkannya "Bul-bul". Beliau membahasakan dirinya 'Kak Yan' padaku kerana lebih tua beberapa bulan dariku.
Mungkin sebab beliau kerap mendengar kaset mengaji Quran yang didendangkan oleh arwah Ustaz Ismail Hashim, johan qari berkali-kali peringkat kebangsaan dan antarabangsa; Shalini, johan qariah dari Indonesia serta Khudzari, qari dari Timur Tengah, satu kelebihannya ialah beliau boleh mengajukkan stail bacaan dan melagukan Quran tidak tumpah seperti mereka! Masalahnya ialah pada kami teman-teman serumahnya! Ini adalah kerana, contohnya, katalah hari itu adalah gilirannya untuk memasak, maka sambil-sambil memasak, beliau akan mengalunkan bacaan Quran yang dihafalnya. Kita yang mendengar suaranya akan secara tidak disedari terberhenti kerja sebab terpana mendengar kemerduan suaranya.
Boleh fahamlah bila aku terbaca kisah tentang kelebihan kemerduan suara yang Allah anugerahkan pada nabi Daud, mengapa bila terdengar suaranya, burung-burung yang sedang terbang di udara pun boleh terlupa untuk terbang! Teman serumah yang juga merupakan senior kami, Kak Dolita Hashim suatu hari pernah datang ke bilik kami, meminta kami menutup pintu bilik bila-bila Mahiran hendak mengaji Quran kerana kalau waktu itu Kak Dolita tengah belajar di bilik belakang, katanya pen pun boleh terlepas dari tangan kerana terlampau ghalit mendengar suara si Mahiran!!!
Aku sering kali peringatkan para pelajarku untuk saling mengambil berat tentang kawan. "Kalau boleh, pasanglah niat untuk graduate sama-sama!", adalah pesananku bila aku dapati sebahagian pelajarku tersangat pandai dan ada sekelompok yang lain dalam kelas yang sama, kelajuan otak mereka menyelesaikan permasalahan matematik agak perlahan sedikit. Dari sejak aku mula bekerja sampai sekarang, kisah aku dan Mahiran sering aku jadikan bahan contoh tauladan. Aku minta pelajar yang pandai rajin-rajinlah mengajar yang kurang pandai dan supaya mereka tidak kedekut ilmu. Lagi rajin mereka mengajar kawan, insya Allah lagi banyak Allah akan tambah ilmu mereka sebenarnya!
Begini ceritanya. Allah beri, Mahiran teramat 'terror' dalam subjek Statistik. Pusinglah soalan itu macam mana pun, beliau mampu menjawabnya. Aku pula, subjek Statistiklah yang paling aku benci. Bila sudah benci, maka pencapaianku tentulah teramat 'kureng'!
Oleh kerana aku sekelas dengannya serta Kak Fouziah Jamaludin, jiranku, setiap kali pensyarah Statistikku pulangkan kertas ujian atau kuiz, oleh kerana kami sering duduk sebaris, bila tiba pada kertasku, pensyarahku akan terbalikkan kertas demi menjaga airmukaku (boleh jadi beliau bimbang aku akan terasa malu pada kawan-kawan kerana di antara kami bertiga, markahku lah yang selalu rendah!). Beliau tidak tahu di antara aku dan Mahiran, aku tidak pernah merahsiakan apa-apa, termasuklah markahku.
Setiap kali aku tunjukkan kertas ujianku, kalau markahku rendah daripadanya, beliau akan mengeluh dan berkata: "Ini silap kak Yan juga sebab tak ajar Taaherah betul-betul supaya markah Taaherah sama dengan Kak Yan atau lebih tinggi dari kak Yan!"
Beliau akan berusaha dengan lebih gigih mengajarku sampai tengah malam sampai aku betul-betul faham. Oleh kerana malam sunyi dan dinding pemisah rumah kami hanya kayu, jiranku Kak Fouziah pernah memberitahu beliau sampai terdengar suara Mahiran mengajarku tiap-tiap malam, lebih-lebih lagi bila nak dekat hari ujian.
Menjadi rutin ahli rumahku untuk mengadakan ta'lim selepas solat Maghrib berjemaah. Ada suatu masa itu, kami bergilir-gilir membacakan bab demi bab buku "Memoirs of Hassan al Banna". Rupanya Hassan al Banna pun pernah mempunyai seorang sahabat yang rapat dengannya yang bernama Ahmad Affendi as Sakri. Selain dari itu tertulis dalam buku itu kisah Hassan al Banna pernah sewaktu hendak bersiap menghadapi ujian, risau sangat agaknya sampai termimpi-mimpi.
Beliau mimpikan seorang alim berbicara dengannya mengenai suatu topik dan keesokan harinya persoalan yang dibicarakan itulah yang ditanya dalam peperiksaannya. Sudah tentulah beliau dapat menjawabnya dengan baik kerana sudah di'coached'kan dalam mimpi tentang jawapannya!
Takdirnya pula, semester itu, aku dan Mahiran mengambil satu subjek di mana pensyarahnya tidak berapa reti mengajar walaupun bergelar profesor. Dalam kelas, beliau hanya bacakan saja apa yang ada dalam buku teks!
Bila tiba hari uijan, malamnya aku bermimpi, soalannya sebiji keluar dari buku teks, mukasurat sekian-sekian. Dalam perjalanan kami ke kelas, aku maklumkan pada Mahiran tentang mimpiku dan soalan yang keluar. Aku cuba fahami betul-betul isi mukasurat tersebut, tetapi Mahiran buat acuh tidak acuh sahaja tentang ceritaku. Menurut beliau, "Mimpi tu hanya mainan tidur!" Yelah... aku diam sahaja. Aku pun tahu aku bukan sewarak Hassan al Banna sampai perolehi 'tips' menjawab soalan dalam mimpi !
Rupa-rupanya, sungguh! Pensyarahku memang ambil soalan sebiji macam dalam mimpiku. Apa lagi, kenduri besarlah aku, dan aku telah dapat menjawab dengan teramat mudah. Bila tiba hari kertas ujian kami dipulangkan, buat pertama kalinya markahku mengatasi markah Mahiran! Kegembiraanku terhenti bila kawanku itu berkata: "Ini mesti salah Kak Yan ni, tak belajar betul-betul supaya markah Kak Yan sama atau lebih dari markah Taaherah!"...
Huh! Buat kot mana pun tak kena. Aku tak akan dapat mengatasi ketinggian akhlaknya padaku dalam bersahabat... Aku selalu mendoakan agar semua anak-anakku serta para pelajarku akan sentiasa bertuah sepertiku, berpeluang mendapat sahabat sejati seperti Mahiran Ghazali.

Tiada ulasan: