Selasa, 31 Julai 2007

Tabik 'Spring' Buat Seorang Presiden








Di akhir zaman ini susah benar hendak dicari seorang tokoh masyarakat yang setara dengan Omar Al Khattab ra, Omar Abdul Aziz, Zulkarnain apa tah lagi seorang lagi Sallehudin al Ayubi... Saya amat berbangga dengan saudara kita di Republik Islam Iran iaitu Presiden Iran sendiri, Mahmud Ahmadinejad, seorang tokoh yang dikurniakan Allah untuk merasa 'izzah' (mulia)dengan Islam.

Saya tidak kenal beliau secara peribadi, apa tah lagi berjumpa dengannya...tetapi beliau telah mempamerkan 'keberanian' yang luarbiasa dalam menghadapi pengaruh Dajjal. Dengan Ahmadinejad, Amerika bagaikan telah bertemu buku dengan ruas! Corak kehidupannya amat sederhana serta beliau amat sangat merendah diri. Gambar-gambar yang dikirim oleh seorang kenalan saya ini menceritakan segalanya.

Isnin, 30 Julai 2007

Kekasih Awal Dan Akhir... Khadijah



















Saidatina Khadijah Bt Khuwailid ialah isteri Rasulullah saw yang pertama. Beza umur mereka amat jauh.... Rasulullah saw 25 tahun, manakala Khadijah ra 40 tahun.

Rasulullah saw sentiasa terkenangkan Khadijah dan memuliakan sahabat-sahabat Khadijah walaupun Khadijah telah tiada. Selain daripada Mariatul Kibtiah (yang melahirkan Ibrahim), Khadijah satu-satunya isteri Rasulullah saw yang dikurniakan anak; iaitu Qassim, 'Abdullah, Fatimah, Zainab, Ruqayyah dan Umi Kalsum (sebab itulah 'kunyah' Rasulullah ialah 'Abal Qassim').

Orang kata, kalau rindu, tak dapat tengok orangnya, dapat tengok bumbung rumahnya pun jadilah. Oleh kerana kita tidak dapat hidup sezaman dengan Khadijah, dapat tengok kawasan perkuburannya pun jadilah!

Sabtu, 28 Julai 2007

Kemunculan Dajjal

Saya terbaca buku bertajuk "Kemunculan Dajjal dan Ya'juj Ma'juj", tulisan Maulana Muhammad Ali baru-baru ini. Buku ini telah diterbitkan oleh Pustaka Azhar, di mana ISBNnya ialah 985-40212-7-5. Buku ini menarik perhatian saya sampai saya tergerak hati untuk dikongsikan dengan pembaca blog ini.


Menurut penulis buku ini, dajjal disebut berulang-ulang di dalam hadith, sedangkan Ya'juj Ma'juj bukan saja di dalam hadith, malah di dalam al Quran juga. Kemunculan pertama Ya'juj Ma'juj ialah sewaktu zaman Zulkarnain (sila rujuk pada suurah al Kahfi) manakala kemunculannya pada kali kedua dihubungkan dengan turunnya al Masih.


Menurut penulis buku ini, perkataan Dajjal berasal dari kata dajala, ertinya menutup (sesuatu). Ada beberapa pendapat mengapa disebut dajjal. Antara lainnya ialah:

i) ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan

ii) ia menutupi bumi dengan bilangannya yang besar

iii) ia menutupi manusia dengan kekafiran

iv) ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi

v) ia menutupi dunia dengan barang dagangannya

vi) ia digelar dajjal kerana mengatakan hal-hal yang bertentangan dengan hatinya (yakni menutupi maksud yang sebenar dengan kata-kata palsu).


Penulis buku ini mengatakan, perkataan Ya'juj dan Ma'juj berasal dari kata ajij yang bererti nyala api. Ya'juj Ma'juj dibaratkan oleh penulis buku ini sebagai api menyala dan air bergelumang kerana hebatnya.


Rasulullah saw pernah mengatakan sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir dari suurat al Kahfi dapat melindungi diri kita dari fitnah Dajjal. Menurut penulis buku ini ayat-ayat yang dimaksudkan tadi terang-terangan membicarakan tentang umat Nasrani dan dua aspek ancaman mereka, iaitu satu bersifat keagamaan manakala satu lagi bersifat keduniaan.


Menurut penulis buku ini, al Quran menyamakan Dajjal dengan Ya'juj Ma'juj. Mereka diberi nama berlainan kerana mempunyai fungsi yang berlainan. Mereka diberi nama Dajjal kerana perbuatan mereka ialah menipu orang dengan bahan keperluan hidup manakala nama Ya'juj Ma'juj pula adalah untuk menyatakan kekuatan politik dan militer mereka. Menurut penulis buku ini lagi, sewaktu al Quran diturunkan, Ya'juj Ma'juj sudah ada tetapi gerak geri mereka masih terkekang sampai saat tertentu yang sesudah itu, mereka akan terlepas untuk menguasai seluruh dunia.


Semua orang mengetahui, bangsa-bangsa Kristian ini mempunyai keahlian dalam membuat barang-barang. Pada permulaan sejarah, mereka, membuang dunia untuk kepentingan agama manakala pada akhir zaman, mereka membuang agama untuk kepentingan dunia. Mereka diibaratkan dalam al Quran sebagai, "salah satu petanda kami (Allah) yang mengagumkan". (al Kahfi :9)


Kita diberitahu, setiap nabi telah memperingatkan umatnya mengenai fitnah Dajjal di mana tiada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal sejak terciptanya Adam hingga hari Kiamat. Dalam al Quran, disebut fitnah besar bagi manusia adalah ajaran Kristian tentang ketuhanan nabi Isa, suatu ajaran yang sebenarnya tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa (rujuk al Maa'idah: 116 - 117).


Pengarang ini cuba menganalisa tentang fitnah Dajjal yang dianggap fitnah yang paling besar di dunia dengan hadith yang menerangkan turunnya al Masih yang ditugaskan untuk membunuh Dajjal dan mematahkan kayu palang (yang sama ertinya dengan membunuh Dajjal). Jadi, pada pengarang buku ini, fitnah Dajjal dan berleluasanya agama Kristian adalah dua sebutan bagi satu idea yang sama.


Pengarang buku ini menafsirkan gambaran Dajjal itu berbadan sasa, roman mukanya putih, berkilat serta rambut kepalanya pendek dan ikal, sesuai sekali dengan orang Eropah pada umumnya. Pada pengarang, Dajjal menggambarkan suatu bangsa. Mata kanan Dajjal yang buta dan pada dahinya tertulis kaf, fa' dan ra' atau 'kafir', sebenarnya menggambarkan keadaan rohani Dajjal.


Buta mata kanan Dajjal membawa erti bahawa Dajjal terlampau memberi sedikit perhatian pada hal yang berhubungan dengan agama atau kerohanian, manakala mata kiri Dajjal yang bersinar gemerlapan bagaikan bintang bererti Dajjal mampu melihat segala macam-macam barang-barang duniawi... sebagaimana kita lihat realiti dunia akhir zaman ini bangsa-bangsa Nasrani mempunyai kemampuan merekacipta pelbagai benda. Kemajuan teknologi mereka merangkumi pelbagai aspek, termasuklah di dalam bidang perubatan, menepati kata-kata ar Rasul saw.


Mengenai dahi Dajjal yang tertulis 'kafir' pula, hadith menerangkan bahawa setiap mukmin dapat membaca tulisan itu sama ada ia buta huruf atau tidak, bermakna tulisan yang dimaksudkan bukanlah tulisan biasa, melainkan 'membaca' manifestasi perbuatan seseorang.


Pada hemat saya, buku ini adalah sebuah buku yang patut dibeli dan dibaca oleh setiap orang yang mengaku Muslim di mana buku ini telah diolah dengan begitu menarik dan mudah difahami. Banyaklah lagi yang diterangkan oleh pengarang tentang tafsiran yang dimaksudkan Rasulullah saw tanda-tanda Dajjal, apa yang dikatakan syurga dan neraka Dajjal, kepantasan kenderaan Dajjal di darat, laut dan udara, bagaimana kehebatan Dajjal mengeluarkan kekayaan bumi dan sebagainya. Setelah membaca buku ini, barulah saya lebih jelas tentang beberapa istilah umpamanya, 'lautan hanya sedalam mata kaki Dajjal' merujuk tentang penggunaan kapal selam. Selama ini, sedari kecil, semua yang saya bayangkan tentang Dajjal adalah rupa-rupanya tidak berapa tepat.
Antara fakta yang menarik di hujung buku ini ialah hakikat yang diterangkan kenapa akhirnya Dajjal dibunuh tetapi tidak Ya'juj Ma'juj. Padanlah dan terjawablah kemusykilan saya selama ini kenapa ar Rasul telah berkata bahawa makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparan.


Semoga Allah merahmati pengarang buku ini yang telah membuka mata saya untuk melihat sesuatu hakikat kejadian akhir zaman dari sudut yang tidak pernah terlintas di hati saya sebelum ini. Wallahu a'lam bissawab.
(Buku ini ada terjual di kedai-kedai buku di Dungun. Rakan sekerja di UiTM Dungun boleh meminjamnya dari saya jika berminat untuk membaca dengan lebih lanjut. Rugi benar jika tidak baca kerana ianya bersangkut paut dengan cabaran yang sedang kita tempohi di akhir zaman ini.)

Khamis, 26 Julai 2007

Mimpi Zubaidah

Zubaidah yang namanya pernah terpahat dalam tinta sejarah ialah isteri Khalifah Harun Al Rasheed. Pada suatu malam, Zubaidah telah bermimpi. Mimpinya amat ganjil sangat. Zubaidah telah bermimpi bahawa baginda bersetubuh dengan beribu-ribu orang!!!
Di zaman Harun Al Rasheed, ada seorang pentafsir mimpi yang terkenal yang bernama Ibnu Sirrin. Oleh kerana merasa malu, Zubaidah telah memanggil khadamnya seraya telah menceritakan mimpinya kepada khadamnya dan diperintahkannya supaya pergi menemui Ibnu Sirrin minta ditafsirkan alamat mimpinya yang ganjil itu.... tetapi dengan syarat, perlu dirahsiakan namanya.
Setelah Ibnu Sirrin mendengar kisah mimpi Zubaidah, beliau tersenyum sahaja. Pada hematnya, tukang penyampai mimpi ini bukanlah tuan punya sebenarnya mimpi yang diceritakan. Oleh kerana berpegang kepada amanah, khadam ini mohon izin untuk balik menemui tuannya dahulu dan memberitahu hal sebenarnya kepada tuannya.
Setelah Zubaidah mendengar telahan Ibnu Sirrin, baginda terpaksalah memberi izin kepada khadamnya untuk memberitahu bahawa sebenarnya, Zubaidahlah yang bermimpi. Setelah Ibnu Siirin mendengar nama Zubaidah disebut, beliau berkata: "Sekarang, barulah padan!"
Rupa-rupanya, Ibnu Sirrin mentafsirkan bahawa Permaisuri Zubaidah akan membuat kebajikan membina terusan air di Mekah yang mana terusan air ini boleh dimanfaatkan oleh ribuan jemaah haji. Jadi, kalau setakat kuli yang bermimpi, tentulah tidak padan!

Selasa, 24 Julai 2007

Saya Sudah Bercucu... Alhamdulillah

Alhamdulillah. Saya sudah jadi Opah. Anak saudara saya baru dapat anak sulungnya. Inilah cucu saudara saya yang ketiga. Namanya Alya Adriana Bt Ahmad Zafferi Bin Zulghaffar Bin Zainuddin Bin Hj Awang Che Mas. Alya lahir pada 18 Julai lepas.
Hmmm.... Sedar tak sedar, sudah makin tua rupanya usiaku ini... (tetapi masih teringin naik kereta Lamborghini lagi hehehehe). Rumah sudah mula kata pergi manakala kubur pula sudah kata mari.... Moga Allah selamatkan zuriat keturunanku, semua kaum keluarga, sahabat handai serta saudara-saudaraku Muslimin dan Muslimat daripada fitnah dajjal.
Alya lahir dalam suasana akhlak masyarakat semakin runtuh, gempa bumi kerap terjadi, tsunami, banjir, ribut, taufan dan kemarau semuanya ada. Semoga ibubapa Alya lebih berhati-hati mencorakkan diri Alya yang diumpamakan bagai sehelai kain putih supaya Alya mampu dan tahan lasak menghadapi zaman pembesarannya yang teramat mencabar dan menguji keimanan manusia ini.

Suurah Al Ikhlas

Sesungguhnyalah, Allah itu Maha Esa. Allah itu tempat memohon segala hajat. Allah tidak beranak dan Allah tidak diperanakkan. Penulis merasakan, seandai semua umat Islam dapat betul-betul menghayati maksud ayat surah Al Ikhlas ini, maka, insya Allah, tiada lagi kerisauan tentang proses pemurtadan umat Islam sama ada kerana bertukar agama kepada Hindu (kerana pengaruh filem Bollywood) atau kerana gerakan Kristianisasi.
Allah sudah terang-terangan memberitahu bahawa Tuhan itu satu, tidak dua, tiga atau beribu. Konsep triniti terjawab dengan suurah ini. Allah mengatakan Allah tidak beranak. Ini bercanggah dengan kepercayaan bahawa Isa itu anak Tuhan. Sewaktu di padang Mahsyar nanti, sewaktu manusia mencari para Nabi-nabi untuk memberi syafaat mereka supaya proses perbicaraan di Mahsyar dapat dimulakan, Nabi Adam menolak kerana baginda merasa takut dengan peristiwa memakan buah khuldi. Nabi Nuh menolak kerana baginda merasa bersalah kerana pernah mendoakan kemusnahan umatnya. Nabi Isa pun menolak kerana, oleh kerana Allah tidak pernah marah seperti mana Allah marah pada hari itu, baginda sendiri merasa cemas akan nasib dirinya. Walaupun baginda tidak pernah mengajar pada umatnya mengatakan bahawa baginda ialah anak Allah... tetapi, umat bagindalah yang menyeleweng dan menokok-tambah benda-benda yang tidak pernah diperkatakannya sepeninggalannya.
Bukanlah suatu yang pelik bila Nabi Isa tercipta tanpa berayah. Bukankah kejadian nabi Adam dan Hawa lebih pelik kerana bukan sahaja tidak berayah, malah tidak beribu!!! Penulis merasakan semua anak-anak orang Islam patut diterapkan kefahaman yang mendalam sejak dari kecil tentang maksud ayat suurah al Ikhlas ini sebagai benteng perisai menentang gejala kemurtadan yang menjadi-jadi akhir zaman ini.
Wallahu a'lam bissawab.

Quran Diangkat Ke Langit




Sudah banyak kali kita terbaca dalam akhbar atau majalah tentang peristiwa 'kehilangan' mukasurat yang sebelum ini bercetak akan tetapi suatu hari, pemilik Quran mendapati, mukasurat tersebut tiada lagi tulisan Qurannya.
Allah ada menyebut bahawa sebelum kiamat berlaku, Al Quran akan diangkat ke langit terlebih dahulu... Bertahun dahulu, penulis ada terbaca mengenai hal Al Quran diangkat ke langit ini. Buku itu memberitahu, peristiwa Al Quran diangkat ke langit ini bukanlah terjadi sebagaimana yang kita saksikan sekarang, yakni, sebahagian mukasurat saja yang hilang. Al Quran ini, bila tiba masa yang dijanjikan, akan Allah angkat ke langit sekaligus, walaupun sewaktu Al Quran diturunkan dahulu, prosesnya beransur-ansur (yakni selama 23 tahun).
Al Quran akan diangkat secara sekaligus ke langit di waktu malam dan bunyinya sewaktu peristiwa itu berlaku macam deruan lebah. Tiada lagi tulisan di dalam mushaf, sampaikan titik pada huruf ba, ta ke ya, tiada satu pun yang akan tertinggal lagi di bumi ini. Al Quran bukan sahaja akan terangkat dalam bentuk tulisan, malah Allah juga akan mengangkat Al Quran dari dada-dada orang Islam yang menghafalnya.
Mereka ini akan terasa seperti 'ada benda' yang pernah mereka baca tapi mereka tidak mampu membacanya lagi kerana semuanya sudah hilang dari ingatan. Jika semua ini berlaku, ini bermakna kiamat sudah tersangat dekat. Jadi, sebelum peristiwa ini berlaku, eloklah kita hargai Al Quran yang Allah turunkan untuk kita ini dengan rajin-rajin membacanya, mendalami maksudnya dan yang terlebih penting lagi, mengamalkan segala suruhannya serta menjauhi larangannya.
Wallahu a'lam bissawab.
(Nota: Gambar-gambar ini dikirim melalui e-mel oleh seorang kenalan. Bagaikan tertera digambar, ianya ada simbol TV3. Boleh jadi gambar ini keluar sewaktu siaran rancangan di TV3)