Sesungguhnyalah, Allah itu Maha Esa. Allah itu tempat memohon segala hajat. Allah tidak beranak dan Allah tidak diperanakkan. Penulis merasakan, seandai semua umat Islam dapat betul-betul menghayati maksud ayat surah Al Ikhlas ini, maka, insya Allah, tiada lagi kerisauan tentang proses pemurtadan umat Islam sama ada kerana bertukar agama kepada Hindu (kerana pengaruh filem Bollywood) atau kerana gerakan Kristianisasi.
Allah sudah terang-terangan memberitahu bahawa Tuhan itu satu, tidak dua, tiga atau beribu. Konsep triniti terjawab dengan suurah ini. Allah mengatakan Allah tidak beranak. Ini bercanggah dengan kepercayaan bahawa Isa itu anak Tuhan. Sewaktu di padang Mahsyar nanti, sewaktu manusia mencari para Nabi-nabi untuk memberi syafaat mereka supaya proses perbicaraan di Mahsyar dapat dimulakan, Nabi Adam menolak kerana baginda merasa takut dengan peristiwa memakan buah khuldi. Nabi Nuh menolak kerana baginda merasa bersalah kerana pernah mendoakan kemusnahan umatnya. Nabi Isa pun menolak kerana, oleh kerana Allah tidak pernah marah seperti mana Allah marah pada hari itu, baginda sendiri merasa cemas akan nasib dirinya. Walaupun baginda tidak pernah mengajar pada umatnya mengatakan bahawa baginda ialah anak Allah... tetapi, umat bagindalah yang menyeleweng dan menokok-tambah benda-benda yang tidak pernah diperkatakannya sepeninggalannya.
Bukanlah suatu yang pelik bila Nabi Isa tercipta tanpa berayah. Bukankah kejadian nabi Adam dan Hawa lebih pelik kerana bukan sahaja tidak berayah, malah tidak beribu!!! Penulis merasakan semua anak-anak orang Islam patut diterapkan kefahaman yang mendalam sejak dari kecil tentang maksud ayat suurah al Ikhlas ini sebagai benteng perisai menentang gejala kemurtadan yang menjadi-jadi akhir zaman ini.
Wallahu a'lam bissawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan