Rabu, 3 Oktober 2007

Solat

Di akhir zaman ini, senangkah mencari remaja Islam yang sanggup meninggalkan segala-galanya sebaik-baik sahaja terdengar laungan azan?
Bertuah benar ibubapa yang berjaya mendidik anak yang hatinya di masjid. Di zaman yang serba mencabar ini, hendak berjumpa dengan seorang lagi Muhammad al Fateh adalah seumpama kepayahan mencari sebatang jarum di dalam segudang jerami.
Suasana dan persekitaran anak-anak kita membesar amat jauh bezanya dengan zaman as saabiqoon al awwaloon. Kita sebagai ibubapa pun masing-masing masih bergelut dengan segala kelemahan diri dan hanya mampu memperakukan bahawa kemampuan kita bercakap mengenai Islam lebih laju daripada kemampuan kita mempamerkan serta merealisasikan segala keindahan Islam ciptaan Allah SWT.
Mungkin ini adalah kerana kita sendiri adalah produk daripada pembesaran yang persekitaran jahiliyahnya teramat pekat sampai kita terasa benar betapa 'dagang'nya Islam itu hatta kepada umat yang mengaku agamanya Islam!
Seorang penulis terkenal di Malaysia telah menulis tidak lama dahulu ramalannya bahawa kemenangan hanya akan berpihak kepada Islam bila mana saf umat Islam yang solat subuh di masjid adalah seramai saf umat Islam yang keluar berjemaah untuk solat Jumaat!