Khamis, 28 Februari 2008

Mung Undi Sapo?

Suatu hari aku telah ditanya soalan cepu mas ini:
"Taaherah... Mung undi sapo?" Aku tersenyum simpul.
"Weh! Undi aku rahsio.....", jawabku. Berdiplomasilah konon heh heh heh... Aku kan pegawai kerajaan, tidak boleh nampak condong kepada mana-mana parti.
"Nok tahu jugak?" Tanyaku lagi bila nampak Sipenanya tidak berpuas hati. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Haaa... aku ngundi Barrack Hussein Obama!!! Aku kan lahir dekat U.S.A.... Ulu Selama Area!" Hehehehehe... Kan dah kena!

"Ma... Alang Orang Pas Ke Umno?"

Sekarang ini tengah demam pilihan raya. Orang di Malaysia akan mengundi 8 Mac ini, insya Allah. Suatu hari di minggu lepas, anakku yang keenam yang berumur lapan tahun yang kami gelar Alang (namanya Ahmad Mubarak) mengejutkan aku dengan soalan ini:
"Ma.... Alang orang Pas ke Umno?"
Tersentak aku seketika. Bukan apa, aku tak menyangka anakku akan menanya soalan seperti itu. Kalau tersalah jawab nanti, bimbang kalau sampai bergaduh di sekolah ke apa ke... yelah, kan aku kena bersedia untuk sebarang kemungkinan! Budak-budak sekarang kita tak berapa boleh jangka apa yang mereka akan lakukan.
"Aaaa... Alang orang Islam!", aku mengambil jalan tengah. "Alang kena hidup sebagai seorang Islam dan Alang kena mati sebagai seorang Islam!"
Ingatkan cerita itu mati di situ sahaja. Bila aku bawa anak-anak ke pasar borong Kuala Dungun, Alang bertanya lagi:
"Ma.... Bendera siapa jahat?" Sekali lagi aku tersentak. Minggu lepas, anak-anakku seronok menengok banyak-banyak bendera parti yang bertanding di sini. Bila pergi ke situ kali ini, sudah tiada lagi beratus-ratus bendera di atas sepanjang jambatan Kuala Dungun yang baru siap dibina... entah siapa musnahkan mereka sebagaimana yang dilaporkan di dalam berita di TV3.
"Errr... bendera tak jahat. Bendera makhluk Allah yang tak bernyawa. Semua manusia kena belajar menghormati hak orang lain... Tak boleh khianat termasuk dalam hal bendera pun!"
Entah Alang faham ke tidak peneranganku.

Rabu, 6 Februari 2008

Pengalaman Belajar Menembak

Jumaat lepas aku ikut kursus menembak jangka sekejap. Berangan konon-kononnya hendak menjadi seorang lagi Lara Croft aka Angelina Jolie. Sehari sebelum pergi, bila aku telefon Sarjan Fauziah, beliau memberitahu kami akan menembak dalam posisi berdiri.
Hmm... Aku yang betul bendul ini pergi ke lapangan sasar menembak dengan jubah klasik aku itulah, siap pakai kain batik di dalam...heh he heh...kan ke diberitahu aku akan menembak dalam posisi berdiri? Menembak berdiri kepala genius aku! (Penulisan gaya baru... Aku tak ingin mengajar pembaca blog aku mencarut atau menggunakan perkataan tidak elok, almaklumlah aku ini pun seorang ibu... kena ajar pembacaku menulis, bercakap dan menggunakan perkataan baik-baik sahaja!)
Rupa-rupanya kesemua mereka menembak dalam posisi meniarap! Errr... bimbang kainku tersingkap, aku meminta izin untuk menembak dlm posisi duduk; sebelah kaki melunjur manakala sebelah kanan lututku naikkan.
Phew! Dalam 20 butir peluru hidup yang aku gunakan.... tak sebutir pun bidikanku menepati sasaran! Itu belum ku sebut bab bila balik dari menembak... malam itu bahagian sternum ku (Isy! Itulah. Masa subjek Biologi dulu tak dengar betul-betul! Sternum tu tulang di tengah-tengah dadalah!) terasa sakit. Begitu juga dengan tulang rusuk kananku. Berat rupanya senjata api M16 tu. Sekali bidik, hentakannya boleh tahan juga. 20 kali bidik, mujur tak masuk hospital. Boleh jadi sebab cara aku pegang senjata tu tak berapa kena.

Hmmmm.... Lamanya berhenti menulis!

Lama betul aku berhenti menulis. Mula-mula sibuk dengan peperiksaan akhir. Lepas tu sibuk menandakan kertas. Kemudian tu sakit sekejap. Kemudian masalah dengan internet terlampau 'slow'.

Selepas itu pula ditimpa perasaan. Bila sudah okay sedikit, sibuk dengan kerja menjadi editor pertama untuk ACCNEWS, buletin bulanan Fakulti Perakaunan. Bila anak-anak dapat tahu aku menawarkan diri menjadi editor ACCNEWS, anakku yang sulong mempersoalkan tindakanku yang menjadi 'Mak Sanggup'.

"Kan banyak kerja tu, Ma?"

"Nak buat macam mana? Dah minat Mama menulis dan Mama benci menengok kesalahan ejaan atau tatabahasa!"

Anakku terdiam. Beliau faham agaknya. Kalau ada minat, kerja susah pun sanggup diredah. Sanggup berkorban apa sahaja, hatta bersengkang mata dan melupakan hari bercuti, masih sudi merayap memanjat tangga pejabat lagi untuk mengadap komputer biar pun ribut taufan musim tengkujuh melanda....
Itulah dunia seorang penulis. Mewakafkan hidup menjadi lilin membakar diri.