Sekarang ini tengah demam pilihan raya. Orang di Malaysia akan mengundi 8 Mac ini, insya Allah. Suatu hari di minggu lepas, anakku yang keenam yang berumur lapan tahun yang kami gelar Alang (namanya Ahmad Mubarak) mengejutkan aku dengan soalan ini:
"Ma.... Alang orang Pas ke Umno?"
Tersentak aku seketika. Bukan apa, aku tak menyangka anakku akan menanya soalan seperti itu. Kalau tersalah jawab nanti, bimbang kalau sampai bergaduh di sekolah ke apa ke... yelah, kan aku kena bersedia untuk sebarang kemungkinan! Budak-budak sekarang kita tak berapa boleh jangka apa yang mereka akan lakukan.
"Aaaa... Alang orang Islam!", aku mengambil jalan tengah. "Alang kena hidup sebagai seorang Islam dan Alang kena mati sebagai seorang Islam!"
Ingatkan cerita itu mati di situ sahaja. Bila aku bawa anak-anak ke pasar borong Kuala Dungun, Alang bertanya lagi:
"Ma.... Bendera siapa jahat?" Sekali lagi aku tersentak. Minggu lepas, anak-anakku seronok menengok banyak-banyak bendera parti yang bertanding di sini. Bila pergi ke situ kali ini, sudah tiada lagi beratus-ratus bendera di atas sepanjang jambatan Kuala Dungun yang baru siap dibina... entah siapa musnahkan mereka sebagaimana yang dilaporkan di dalam berita di TV3.
"Errr... bendera tak jahat. Bendera makhluk Allah yang tak bernyawa. Semua manusia kena belajar menghormati hak orang lain... Tak boleh khianat termasuk dalam hal bendera pun!"
Entah Alang faham ke tidak peneranganku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan