Jumaat lepas aku ikut kursus menembak jangka sekejap. Berangan konon-kononnya hendak menjadi seorang lagi Lara Croft aka Angelina Jolie. Sehari sebelum pergi, bila aku telefon Sarjan Fauziah, beliau memberitahu kami akan menembak dalam posisi berdiri.
Hmm... Aku yang betul bendul ini pergi ke lapangan sasar menembak dengan jubah klasik aku itulah, siap pakai kain batik di dalam...heh he heh...kan ke diberitahu aku akan menembak dalam posisi berdiri? Menembak berdiri kepala genius aku! (Penulisan gaya baru... Aku tak ingin mengajar pembaca blog aku mencarut atau menggunakan perkataan tidak elok, almaklumlah aku ini pun seorang ibu... kena ajar pembacaku menulis, bercakap dan menggunakan perkataan baik-baik sahaja!)
Rupa-rupanya kesemua mereka menembak dalam posisi meniarap! Errr... bimbang kainku tersingkap, aku meminta izin untuk menembak dlm posisi duduk; sebelah kaki melunjur manakala sebelah kanan lututku naikkan.
Phew! Dalam 20 butir peluru hidup yang aku gunakan.... tak sebutir pun bidikanku menepati sasaran! Itu belum ku sebut bab bila balik dari menembak... malam itu bahagian sternum ku (Isy! Itulah. Masa subjek Biologi dulu tak dengar betul-betul! Sternum tu tulang di tengah-tengah dadalah!) terasa sakit. Begitu juga dengan tulang rusuk kananku. Berat rupanya senjata api M16 tu. Sekali bidik, hentakannya boleh tahan juga. 20 kali bidik, mujur tak masuk hospital. Boleh jadi sebab cara aku pegang senjata tu tak berapa kena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan