Saya terbaca buku bertajuk "Kemunculan Dajjal dan Ya'juj Ma'juj", tulisan Maulana Muhammad Ali baru-baru ini. Buku ini telah diterbitkan oleh Pustaka Azhar, di mana ISBNnya ialah 985-40212-7-5. Buku ini menarik perhatian saya sampai saya tergerak hati untuk dikongsikan dengan pembaca blog ini.
Menurut penulis buku ini, dajjal disebut berulang-ulang di dalam hadith, sedangkan Ya'juj Ma'juj bukan saja di dalam hadith, malah di dalam al Quran juga. Kemunculan pertama Ya'juj Ma'juj ialah sewaktu zaman Zulkarnain (sila rujuk pada suurah al Kahfi) manakala kemunculannya pada kali kedua dihubungkan dengan turunnya al Masih.
Menurut penulis buku ini, perkataan Dajjal berasal dari kata dajala, ertinya menutup (sesuatu). Ada beberapa pendapat mengapa disebut dajjal. Antara lainnya ialah:
i) ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan
ii) ia menutupi bumi dengan bilangannya yang besar
iii) ia menutupi manusia dengan kekafiran
iv) ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi
v) ia menutupi dunia dengan barang dagangannya
vi) ia digelar dajjal kerana mengatakan hal-hal yang bertentangan dengan hatinya (yakni menutupi maksud yang sebenar dengan kata-kata palsu).
Penulis buku ini mengatakan, perkataan Ya'juj dan Ma'juj berasal dari kata ajij yang bererti nyala api. Ya'juj Ma'juj dibaratkan oleh penulis buku ini sebagai api menyala dan air bergelumang kerana hebatnya.
Rasulullah saw pernah mengatakan sepuluh ayat pertama dan sepuluh ayat terakhir dari suurat al Kahfi dapat melindungi diri kita dari fitnah Dajjal. Menurut penulis buku ini ayat-ayat yang dimaksudkan tadi terang-terangan membicarakan tentang umat Nasrani dan dua aspek ancaman mereka, iaitu satu bersifat keagamaan manakala satu lagi bersifat keduniaan.
Menurut penulis buku ini, al Quran menyamakan Dajjal dengan Ya'juj Ma'juj. Mereka diberi nama berlainan kerana mempunyai fungsi yang berlainan. Mereka diberi nama Dajjal kerana perbuatan mereka ialah menipu orang dengan bahan keperluan hidup manakala nama Ya'juj Ma'juj pula adalah untuk menyatakan kekuatan politik dan militer mereka. Menurut penulis buku ini lagi, sewaktu al Quran diturunkan, Ya'juj Ma'juj sudah ada tetapi gerak geri mereka masih terkekang sampai saat tertentu yang sesudah itu, mereka akan terlepas untuk menguasai seluruh dunia.
Semua orang mengetahui, bangsa-bangsa Kristian ini mempunyai keahlian dalam membuat barang-barang. Pada permulaan sejarah, mereka, membuang dunia untuk kepentingan agama manakala pada akhir zaman, mereka membuang agama untuk kepentingan dunia. Mereka diibaratkan dalam al Quran sebagai, "salah satu petanda kami (Allah) yang mengagumkan". (al Kahfi :9)
Kita diberitahu, setiap nabi telah memperingatkan umatnya mengenai fitnah Dajjal di mana tiada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal sejak terciptanya Adam hingga hari Kiamat. Dalam al Quran, disebut fitnah besar bagi manusia adalah ajaran Kristian tentang ketuhanan nabi Isa, suatu ajaran yang sebenarnya tidak pernah diajarkan oleh Nabi Isa (rujuk al Maa'idah: 116 - 117).
Pengarang ini cuba menganalisa tentang fitnah Dajjal yang dianggap fitnah yang paling besar di dunia dengan hadith yang menerangkan turunnya al Masih yang ditugaskan untuk membunuh Dajjal dan mematahkan kayu palang (yang sama ertinya dengan membunuh Dajjal). Jadi, pada pengarang buku ini, fitnah Dajjal dan berleluasanya agama Kristian adalah dua sebutan bagi satu idea yang sama.
Pengarang buku ini menafsirkan gambaran Dajjal itu berbadan sasa, roman mukanya putih, berkilat serta rambut kepalanya pendek dan ikal, sesuai sekali dengan orang Eropah pada umumnya. Pada pengarang, Dajjal menggambarkan suatu bangsa. Mata kanan Dajjal yang buta dan pada dahinya tertulis kaf, fa' dan ra' atau 'kafir', sebenarnya menggambarkan keadaan rohani Dajjal.
Buta mata kanan Dajjal membawa erti bahawa Dajjal terlampau memberi sedikit perhatian pada hal yang berhubungan dengan agama atau kerohanian, manakala mata kiri Dajjal yang bersinar gemerlapan bagaikan bintang bererti Dajjal mampu melihat segala macam-macam barang-barang duniawi... sebagaimana kita lihat realiti dunia akhir zaman ini bangsa-bangsa Nasrani mempunyai kemampuan merekacipta pelbagai benda. Kemajuan teknologi mereka merangkumi pelbagai aspek, termasuklah di dalam bidang perubatan, menepati kata-kata ar Rasul saw.
Mengenai dahi Dajjal yang tertulis 'kafir' pula, hadith menerangkan bahawa setiap mukmin dapat membaca tulisan itu sama ada ia buta huruf atau tidak, bermakna tulisan yang dimaksudkan bukanlah tulisan biasa, melainkan 'membaca' manifestasi perbuatan seseorang.
Pada hemat saya, buku ini adalah sebuah buku yang patut dibeli dan dibaca oleh setiap orang yang mengaku Muslim di mana buku ini telah diolah dengan begitu menarik dan mudah difahami. Banyaklah lagi yang diterangkan oleh pengarang tentang tafsiran yang dimaksudkan Rasulullah saw tanda-tanda Dajjal, apa yang dikatakan syurga dan neraka Dajjal, kepantasan kenderaan Dajjal di darat, laut dan udara, bagaimana kehebatan Dajjal mengeluarkan kekayaan bumi dan sebagainya. Setelah membaca buku ini, barulah saya lebih jelas tentang beberapa istilah umpamanya, 'lautan hanya sedalam mata kaki Dajjal' merujuk tentang penggunaan kapal selam. Selama ini, sedari kecil, semua yang saya bayangkan tentang Dajjal adalah rupa-rupanya tidak berapa tepat.
Antara fakta yang menarik di hujung buku ini ialah hakikat yang diterangkan kenapa akhirnya Dajjal dibunuh tetapi tidak Ya'juj Ma'juj. Padanlah dan terjawablah kemusykilan saya selama ini kenapa ar Rasul telah berkata bahawa makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat, yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan kelaparan.
Semoga Allah merahmati pengarang buku ini yang telah membuka mata saya untuk melihat sesuatu hakikat kejadian akhir zaman dari sudut yang tidak pernah terlintas di hati saya sebelum ini. Wallahu a'lam bissawab.
(Buku ini ada terjual di kedai-kedai buku di Dungun. Rakan sekerja di UiTM Dungun boleh meminjamnya dari saya jika berminat untuk membaca dengan lebih lanjut. Rugi benar jika tidak baca kerana ianya bersangkut paut dengan cabaran yang sedang kita tempohi di akhir zaman ini.)
1 ulasan:
apa pandangan anda tentang kejadian gempa bumi dan tsunami yg berlaku sejak kebelakangan ini. ada yang menyatakan itu tandanya dajjal akn muncul dr dlm tnh...
Catat Ulasan