Baru-baru ini seorang guru Biologi yang pernah mengajarku sewaktu aku di Tingkatan Lima dulu menghantar emel padaku, mencadangkan supaya aku menulis dari semasa ke semasa, sesuatu dalam blogku dengan motif untuk berpesan-pesan pada anak-anak agar akhirnya nanti mereka membesar dan menjalani hidup ini dalam keadaan mentaati Allah, insya Allah.
Aku teringat pada arwah ayah setiap kali bab mentarbiyah anak-anak ini diungkit oleh sesiapa pun. Ayahku adalah seorang ayah yang misali. Mungkin ayahku tak pernah berpeluang masuk belajar di universiti kerana pembelajarannya terganggu semasa Perang Dunia Kedua meletus, tetapi bab mendidik anak ini, aku puji kaedah yang ayahku gunakan.
Ayah telah mempraktikkan kepimpinan melalui teladan. Banyak yang aku pelajari darinya hanya melalui apa yang dibuatnya tanpa beliau perlu bersuara sepatah pun. Ayah adalah seorang peniaga kedai runcit sewaktu hayatnya dikandung badan. Balik dari masjid selepas habis solat subuh, kedai ayahlah yang paling awal dibuka di kampung. Ayah akan sediakan sebuah bangku untuk aku duduk sementara menunggu bas sekolahku datang. Sambil-sambil beliau buka kedai, beliau mengajarku untuk sentiasa berselawat ke atas nabi atau menghafal doa terang hati ini .....
"Allahummaj 'alfi qalbi nuura...wa fii lisaani nuura...waj 'alfi sam 'ii nuura...waj 'alfii basori nuura... waj 'alfi khalfii nuura... wa min amaami nuura... waj 'al min fauqii nuuraa... wa min tahti nuuraa... Allahumma a'tinii nuuraa..."
Sambil-sambil itu beliau akan bercerita kisah-kisah nabi. Ada sahaja peluang untuk bercakap denganku, beliau akan bercerita, masa makan, lepas makan, dalam kereta, dalam bas, dalam keretapi.... Adikku cemburu agaknya aku rapat sangat dengan ayah, sampai digelarnya aku, "Anak ayah"! Adik beradikku yang lain semuanya 'anak kerajaan' kerana terpilih untuk belajar di sekolah berasrama... Aku sahaja yang duduk di rumah dan bersekolah harian, sebab itulah aku ditakdirkan ada lebih banyak masa dengan ayah.
Ayah adalah seorang yang hatinya di masjid. Kadang-kadang aku perhatikan jam baru pukul 12 tengahari, ayah sudah masuk ke dalam rumah kedai kami untuk 'check' jam sebab beliau hendak buat persediaan untuk solat Zuhur. Begitulah bila tiba waktu Asar , Maghrib dan Isya'.
Fikiran ayah melangkau sempadan masa dan benua. Ketika orang lain takut anak-anak diKristiankan, ayah telah berani menghantar kami bersekolah aliran Inggeris. Anak-anak ayah bertuah hidup di zaman pengimplimentasian Dasar Ekonomi Baru, jadi aku dan adik-beradikku bernasib baik mendapat biasiswa untuk belajar sama ada di England atau Amerika. Mujur 'aqidah kami selamat... berkat didikan dan doa yang yang tidak pernah putus dari emak dan ayah.
Kesimpulan yang aku boleh buat adalah, rajin-rajinlah berpesan kepada anak-anak. Mereka mungkin buat 'tak dengar' saja sewaktu kita bercakap tetapi otak mereka 'register' sebenarnya pesanan-pesanan dan ingatan yang kita buat. Buktinya adalah, sampai sahaja aku di bumi Amerika, aku dapati, tiap kali aku bercakap, aku selalu tersasul menyebut, "Ayah saya kata..." , tiap kali aku perlu buat keputusan mengenai apa pun wal hal sewaktu aku membesar di Malaysia, aku selalu buat dak je!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan