Isnin, 20 Ogos 2007

Doa Angin Ahmar

Aku dimaklumkan, rakan-rakan sejawatku, Prof Madya Maksom Sarakan dan En. Muneer Shamsudin pernah teruji. Takdir Tuhan lebih kurang tiga minggu lepas giliranku pula... (agaknyalah).
Semester ini, hari Selasa , jadual kelasku paling padat dalam seminggu. Kali pertama aku dapat jadual yang paling baru, agaknya badanku yang semakin tua ini 'terkejut' selepas lama berehat. Asar itu, selepas solat, dalam keadaan yang teramat letih, tiba-tiba anggota badan sebelah kiriku mengalami masalah untuk digerakkan. Tanganku terasa sukar benar untuk diangkat. Kalau cuba diangkat, terasa sakit benar!
Aku tidak berupaya menghabiskan zikirku petang itu. Yang pertama terlintas di hatiku ialah pertanyaan, "Sudah tibakah giliranku untuk kembali ke kampung yang kekal abadi itu?"
Aku cuba membaca ayat "Laqadjaa akum... " sampai habis. Selama ini aku diberitahu, seandainya kita hafal ayat itu, kalau takdirnya ajal kita sudah hampir tiba, kita tidak akan mampu membaca ayat tersebut 'off hand' sebagaimana kebiasaan.
Rupa-rupanya aku hafal lagi. "Haa... Tak akan mati lagi agaknya", fikirku.
Aku panggil anakku Sarah untuk tolong ambilkan minyak dan cermin. Alhamdulillah bibirku tidak herot. Anakku tolong aku buka baju (aku alami kesukaran untuk membuka bajuku sendiri!) dan dilumurnya minyak ke kawasan anggota badanku yang di sebelah kiri. Letih si kakak mengurut, datang pula si adiknya Mubarak , mengurut perlahan-lahan.
Terasa hiba bila jari-jemari kecil anakku mengelus-ngelus kawasan bahu kiriku. Aku berdoa masa itu, andainya Allah ingin memanggil aku pulang, harap-harap biarlah prosesnya cepat dan tidak menyusahkan anak-anak.
Alhamdulillah keadaanku tidak melarat. Aku teringat aku pernah baca doa angin ahmar suatu waktu dahulu. Menurut pengarang buku doa tersebut, cukup kita baca sekali seumur hidup untuk mengelakkan serangan angin ahmar. Kalau dibaca setiap waktu, lagi elok.
Kepada pembaca blogku, beringatlah sebelum kena. Bacalah doa angin ahmar sebelum terlambat.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Puan,
Terasa sayu pulak baca blog puan ini, terasa sejuk dalam dada ini, nak mengalir air mata rasanya. Sabar ya Puan.saya dah anggap Puan macam mak saya sendiri. Puan dah jumpa doktor ke belum? Better Puan jumpa doktor. Walaupun jumpa doktor tu dia hanya periksa badan kita jer, tapi mungkin ada nasihat yang berguna kita dapat kita pratikkan dalam mengurangkan kesakitan yang kita alami. Mak saya pun selalu mengadu sakit kaki. Maklumlah waktu muda dia selalu ulang alik meronda kampung. Dia bidan kerajaan.Sabar ya Puan. Saya mendoakan puan sihat walafiat.ni emel saya azimahpp333@yahoo.com.my.:}

Pak Cik Satu Dua berkata...

ujian tu tarbiyah daripada Allah...