Ahad, 12 Ogos 2007

Dalam Kesenangan Ada Kesusahan

Ramai kawan-kawan bertanya lebih lanjut mengenai tulisanku tentang asmaa'ul a'zam tempohari. Memanglah nampak seronok bila semua doa makbul... tapi, bukankah kita ini telah ditakdirkan untuk hidup di dunia buat sekejap waktu sementara menunggu giliran kita dipanggil balik oleh Allah untuk pulang ke kampung kita yang kekal abadi? Bukankah dunia ini fitrahnya tempat menerima ujian?


Pernah dengar cerita tentang "The Medusa Touch" semasa kecil dahulu? Hmmm... Kalau tak silap, ceritanya ialah mengenai seorang yang 'bertuah' di mana semua benda yang disentuhnya bertukar menjadi emas. Mula-mula dia seronoklah... tapi... lama kelamaan, bila anaknya sendiri tertukar menjadi patung emas, semuanya sudah tidak bermakna lagi.


Ulama' kata, sebenarnya susah juga bagi orang yang doanya tersangat makbul. Pernah dengar kisah seseorang yang hidup di zaman nabi Musa dahulu yang bernama Bal'am Bin Baura? Orang yang diberi kelebihan mengetahui tentang asmaa'ul a'zam sepatutnya tidak menggunakannya untuk kepentingan duniawi kerana itu akan memusnahkan dirinya sendiri akhirnya.


Bani Izrael telah meminta pertolongan Bal'am untuk mendoakan yang tidak baik untuk nabi Musa dan pengikutnya. Bal'am yang tersirna dengan janji manis duniawi telah bersetuju.... tetapi apa yang terjadi adalah, setiap kali dia cuba mendoakan yang tidak baik, Allah yang Maha Berkuasa telah membalikkan lidah Bal'am untuk mendoakan yang sebaliknya.


Ada seorang lelaki yang hidup sezaman dengan wali Allah yang bernama Dzun Nun al Misri. Bila dia mengetahui bahawa Dzun Nun ada pengetahuan tentang asmaa'ul a'zam, beliau pergi untuk berguru dengan wali Allah tersebut. Setelah lama tempoh masa ia duduk bersama Dzun Nun, barulah ia menyampaikan hajat hatinya. Dzun Nun tidak terus menjawab, tetapi sebalik menyerahkan satu amanah (bekas) pada orang ini untuk disampaikan pada seseorang yang lain di bandar yang lain.


Beliau taat, tapi dalam perjalanan timbul kehairanan di hatinya kerana benda tersebut teramat ringan. Perasaan ingin tahunya pada isi kandungan amanah yang perlu disampaikan itu menyebabkan akhirnya benda itu terbuka dan melompat keluarlah seekor tikus. Orang ini menjadi panas hati kerana dia terfikir seolah-olah Dzun Nun telah mempermain-mainkannya.


Bila dia pergi menemui gurunya barulah terbongkar rahsia. Dzun Nun sebenarnya hanya ingin menguji keupayaannya. Kalau dalam perkara semudah itu pun dia tak terpikul amanahnya, inikan pula dalam perkara sebesar asmaa'ul a'zam... Sudah tentulah dia masih tidak layak untuk diajar tentang asmaa' yang agung itu.


Sebenarnya Allah menyuruh manusia berdoa dan berikhtiar. Mintalah segala apa keperluan hidup padaNya, Dia akan kabulkan. Tinggal lagi, sama ada Dia kabulkan segera, atau ditangguhkan atau digantikan dengan sesuatu yang lain yang pada pandangan Allah, terlebih elok untuk kita (Kerana Dia sahajalah yang terlebih mengetahui) ... atau Dia akan memenuhi permintaan kita itu di akhirat nanti. Itu janji Tuhan dan janji Tuhan semestinya benar.


Di akhirat nanti, menurut ulama', kalaulah manusia itu mengetahui keadaannya, manusia akan meminta Allah menangguhkan sahaja semua permintaannya untuk dikabulkan di akhirat.... sebab, akhirat adalah negeri yang kekal abadi. Nikmatnya tak terbanding dengan dunia yang sementara ini.


Allah pilih hambanya yang tertentu sahaja untuk mengetahui asmaa'ul a'zam ini sebab tanggungjawabnya tersangat berat. Bagi kita orang awam, ada banyak ikhtiar lain; umpamanya, bacalah doa yang baik-baik sepanjang hari Jumaat kerana pada hari Jumaat ada suatu saat yang disorokkan waktunya oleh Allah waktu yang sangat mustajab doa; doalah pada hari wukuf di Arafah kerana pada waktu itu Allah buka pintu langit; doalah di Multazam, di Hijr Ismail, sewaktu hujan turun, sewaktu tengah musafir, sewaktu tengah berpuasa, ketika hendak berbuka puasa, pada lailatul Qadar... senarainya panjang sangat.
Aku? Kenapa tak beramal dengan asmaa'ul a'zam? Heeheheehe... Aku banyak sangat tengok cerita kartun agaknya.... hehehehe... bimbang aku minta boleh terbang macam Goku dalam cerita 'Dragon Ball' tu!!! Tidak pun melepaskan geramku pada orang yang telah menyihirkan aku selama ini dengan melanyak mereka 10 kali ganda ke.... almaklumlah aku ini perempuan... emosional lebih, wal hal Allah kata boleh balas 'an eye for an eye' sahaja.... Kan ulama' sudah kata tak boleh guna asmaa'ul a'zam untuk tujuan duniawi... Jadi, kesimpulannya, tepuk dada tanyalah iman.

2 ulasan:

zidnee 'ilmaa berkata...

Pengetahuan yang bagus...You write well! Thank you
http://blogsini.blogspot.com

ila c a y y o k berkata...

Assalamualaikum..
waaaa tak trungkap kate2 bile sy sebagai insan kerdil ni terbuke blog puan, sungguh luas pengetahuan puan. well done.. n thanks for the knowledge that u hv given to created my own blog last weekend.. :p