Sewaktu saya kecil dulu, ayah saya telah bercerita tentang seorang lelaki yang diberi ilmu dari kitab, yakni wazir nabi Sulaiman a.s. yang bernama Asif Bin Barkhiya. Sewaktu Ratu Balkis dari Yaman sedang dalam perjalanan dari Yaman ke Palestin untuk memenuhi undangan nabi Sulaiman, nabi Sulaiman telah memerintahkan rakyatnya memindahkan singgahsana Ratu Balkis ke Palestin. Di antara banyak-banyak rakyat nabi Sulaiman yang termasuklah jin yang menyanggupi untuk melaksanakan tugas tersebut, nabi Sulaiman memilih untuk menyerahkan tugas tersebut pada Asif kerana beliau mengaku dapat melaksanakan tugas tersebut dalam masa yang paling singkat yakni sebelum sempat mata nabi Sulaiman habis berkelip!!!
Waktu itu saya diberitahu Asif mengamalkan salah satu nama Allah daripada 99 asmaa'ul husna.
Bila saya sudah besar panjang, sewaktu saya beli buku khasiat nama-nama Allah, saya terbaca penyataan bahawa ulama' berkata dalam banyak nama-nama Allah, ada satu nama itu, yang disebut asmaa'ul a'zam, jika disebut nama Allah yang dirahsiakan yang mana satu itu sewaktu berdoa, insya Allah doa kita sangat makbul.
Sewaktu saya di kampus UiTM Pahang, ada seorang pensyarah senior saya yang boleh membaca hati perut pelajarnya serta mengetahui segala rahsia mereka tanpa perlu diberitahu oleh pelajar sendiri. Saya secara peribadi menyifatkan arwah pensyarah ini sebagai seorang guru yang mursyid. Sewaktu saya bertanya pada arwah apa yang menjadi amalannya sehingga berkebolehan sampai begitu sekali, beliau memberitahu, beliau mengamalkan salah satu nama Allah, yang saya agak pada masa itu ialah asmaa'ul a'zam.
Sewaktu saya pergi haji, salah seorang jemaah wanita dalam rombongan saya adalah seorang ustazah dari Kelantan yang amat gemar membaca seperti saya. Seronoknya saya waktu itu kerana telah bertemu 'geng' kaki membaca. Sementara menunggu hari wukuf, saya telah meminjam buku yang ustazah tersebut bawa dari Malaysia. Alangkah gembiranya saya bila terbaca dalam salah sebuah bukunya, tertulis nama Allah yang ulama' kata yang diamalkan oleh Asif Bin Barkhiya, yang berkemungkinan asmaa'ul a'zam itu.
Bila ustazah ini ternampak saya terlampau gembira bila membaca bukunya, beliau bertanya sebab musababnya. Saya pun jelaskanlah dari awal bahawa pencarian saya selama ini sudah bernokhtah dan saya tunjukkan padanya apa yang saya maksudkan di dalam buku tersebut.
Ustazah tersebut menerangkan pada saya tentang kisah sahabatnya yang mengamalkan nama Allah itu. Beliau bimbang saya akan teruji terlebih dahulu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada saya mampu atau tidak menanggung ujianNya. Saya dengar pengalaman sahabat ustazah itu dengan teliti dan jadikannya sebagai tauladan. Ini adalah kerana saya pernah ada pelajar yang mengamalkan nama Allah yang lain (bukan asmaa'ul a'zam) dan beliau benar-benar telah teruji. Bila pelajar tersebut merujuk kepada ustaz mengadukan halnya, ustaz tersebut menerangkan bahawa mungkin bukan taraf pelajar itu untuk mengamalkan nama Allah yang dipilihnya.
Bila saya berpindah ke Dungun, saya terjumpa lagi sebuah buku khas tentang asmaau'l a'zam ini di kedai buku di Kuala Dungun. Buku itu adalah salinan yang terakhir di rak buku, malah lorong rak tersebut pun pekedai buku tidak buka lampu kerana jarang dikunjungi pelanggan! Bila saya baca sahaja permulaan buku itu.... penulisnya menerangkan bahawa buku itu tidak ditulis untuk dibaca atau diamalkan oleh wanita atau kanak-kanak. Rupa-rupanya Saidatina Aishah sendiri telah bertanya pada Rasulullah saw tentang nama Allah yang digelar asmaa'ul a'zam ini tetapi Rasul saw tidak memberitahunya. Aisyah usaha sendiri dan bagai dikata Rasulullah, kalau sudah berusaha mencari... insya Allah dapat!
Sifat orang perempuan secara umumnya adalah agak emosional. Seperti juga talak yang dianugerahkan Allah hanya pada orang lelaki, kawan rapatku seorang ustazah pernah secara berseloroh memberitahuku, seandainya Allah izinkan dia menjatuhkan talak... entah-entah tiap-tiap hari dia bercerai!!! Inikan pula melibatkan doa yang sangat makbul. Nanti, takdirnya marah pada sesiapa, mudah saja lidah seorang perempuan atau kanak-kanak mengungkapkan sesuatu yang tidak elok, na'uzubillah. Pada ketika itu, menyesal pun sudah tiada gunanya. Qalam sudah terangkat... tinta pun sudah kering...
Bila saya jumpa doa Kanzil Arasy yang digelar 'Raja segala doa', rupa-rupanya tertulis semua 99 nama Allah di dalam doa itu.... jadi sudah pastilah termasuk asmaa'ul a'zam tersebut. Jadi, selepas ini, kalau benar-benar berhajatkan sesuatu, sebut sajalah SEMUA nama-nama Allah; minta dengan sebersungguh mungkin serta penuh mengharap... insya Allah makbul!
Wallhua'lam bissawwab.
2 ulasan:
Saya akan cari...
salamun..
nama hanya asbab, yang menetapkan hanyalah DIA
Catat Ulasan