Aku selalu terkenangkan peristiwa yang satu ini. Aku rakamkan dalam blogku ini kejadian tersebut, moga dapat dibaca oleh anak bongsuku ini suatu hari nanti bila aku sudah tiada lagi di dunia ini sebagai kenang-kenangan saat-saat manis yang diizinkan Allah S.W.T sepanjang masa ia bersamaku.
Pada suatu hari, sewaktu aku sedang solat, wudhukku telah terbatal. Aku berhenti solat seraya membuka telekung untuk memperbaharui wudhukku. Rupa-rupanya anak bongsuku leka memerhati sambil menghisap botol susunya di atas katilku.
"Kuduk mama gatai?", tanya anak kecil itu. Aku mendekatkan mukaku kepadanya. Mataku tidak nampak jauh tanpa cermin mataku.
"Wuuuudhuk!", sebutku lambat-lambat, sambil bibirku muncungkan agar telinga anakku jelas mendengar sebutanku.
"Wudhuk mama gatai?", ulangnya lagi, mahukan kepastian.
"Baaaatal!", betulku lagi.
"Wudhuk mama batal?", anak bongsuku Sa'idah bersuara lagi.
"Ha'aa. Wudhuk mama batal!", jawabku sambil menahan gelak.
Agaknya inilah kelebihan yang Allah bagi kepada kanak-kanak untuk belajar bercakap. Mereka tidak rasa malu jika tersalah sebut dan mereka sabar melakukan sesuatu pekerjaan itu berulang-ulang. Manusia, semakin besar, semakin hilang sifat ini. Lihat sahajalah pelajar-pelajar peringkat Universiti. Kalau disuruh berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris di dalam kelas, mereka tersipu-sipu malu... bimbang diketawakan oleh rakan-rakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan