Ketika memasukkan klip video tentang orang yang sedang 'melepas' angin semalam, aku teringat beberapa kisah silam mengenai kentut ini.
Sewaktu aku dalam pantang selepas melahirkan anakku yang sulong, 'Abdullah, salah satu yang menjadi kemusykilanku adalah apabila anakku mengalami masalah 'perut yang meragam'. Biasanya bayiku selepas minum susu, aku akan cuba sendawakan (burp) dia. Kadangkala, Allah izin, perutnya masih tetap berangin juga, malah mukanya kadang-kadang berkerut menahan sakit.
Puasku sapu minyak 'Afiat pada bahagian perut serta betis kakinya. Waktu itu Tuhan sajalah yang tahu, aku berdoa semoga anakku boleh kentut untuk melegakan angin di dalam perutnya. Aku perhatikan, jika bayiku boleh kentut, insya Allah masalah itu tidak akan berlarutan sampai dia menangis meronta-ronta kesakitan.
Bila akhirnya anakku dapat kentut, aku rasa lega dan bersyukur sangat. Masa itu aku terfikir sendirian, kalau kita sendawa, kita baca "Alhamdulillah!". Kalau berjanji, kita ucapkan "Insya Allah". Kalau ada musibah, kita kata "Inna lillahi wa inna ilaihi raaaji'un".... Kalau kentut, nak baca apa?
Puas aku mencari di dalam buku tetapi tidak pernah berjumpa jawapannya.... sampailah suatu hari bertahun kemudian aku terdengar seorang penceramah berkata, kalau kentut, bacalah "Alhamdulillah!" Ha'a.... memang pun. Ibu-ibu yang pernah mengalami masalah sepertiku tentu faham betapa bersyukurnya rasa hati bila si anak kecil diizinkan Allah untuk kentut. Suatu nikmat yang amat besar!
Lapan belas tahun kemudian, anak bongsuku ialah seseorang yang selalu membuang angin. Setiap kali Sa'idah kentut, aku tidak dapat menahan senyum bila aku terdengar beliau berkata :"Alhamdulillah!". Mengajar anak kecil adalah umpama menulis di atas batu... insya Allah pesanan kita 'melekat' di dalam kepala mereka.
Teringat zaman aku sewaktu kanak-kanak dahulu, membesar bersama-sama abang-abangku yang nakal; Abang Aaa, abang Baa dan Abang Yan. Seperti kebanyakan budak kampung yang lain, mereka di rumah biasanya berkain pelikat. Bila sedang asyik bermain, tiba-tiba salah seorang dari mereka akan membuat rupa muka yang terkejut, mengangkat jari ke bibir supaya semua orang diam.... sehingga akhirnya mengeluarkan bunyi ledakan 'bom' asli ciptaan Tuhan. Lepas itu, siap mengibas-ngibaskan lagi kain pelikat mereka untuk menyakitkan hati aku dengan 'haruman' bom mereka!
1 ulasan:
Orang amerika bila kentut cakap excuse me, Uk pula Pardon me, Singapura cakap forgive me. Orang Malaysia cakap { Not ME }
Catat Ulasan